Search

Tiga lelaki memandu mabuk masing-masing didenda RM10,000

October 18, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman denda RM10,000, masing-masing terhadap tiga lelaki hang mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk.

Maaruf Abd Raud, 27, Baharuddin Kadir, 52, dan Yusman Chudeng, 44, dikenakan hukuman itu selepas membuat pengakuan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.

Mahkamah juga turut memerintahkan semua tertuduh menjalani hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. 

Mengikut kertas pertuduhan, Maaruf dan Baharuddin didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Sim Hwa Seng, manakala Yusman di Jalan St Patrick, kira-kira jam 1.10 hingga 1.45 pagi, 7 Oktober lepas.

Hasil ujian saringan pernafasan didapati kandungan alkohol dalam darah semua tertuduh melebihi had yang dibenarkan iaitu 50 miligram etil dalam 100 mililiter darah.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 45A (1) APJ 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda sehingga RM30,000.

Dayang Aidaku turut memberikan hukuman penjara selama tiga hari terhadap semua tertuduh dan lesen memandu digantung selama dua tahun.

Sementara itu, dalam mahkamah yang sama, seorang lelaki didenda sebanyak RM5,500 selepas mengaku bersalah memandu dalam keadaan cuai sehingga menyebabkan kemalangan.

Mohd Lukman Taba, 22, turut diperintahkan menjalani hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Lukman didakwa memandu kereta tanpa kecermatan sehingga menyebabkan berlaku kemalangan di Bulatan Airport Lama, Jalan Utara, pada jam 1.30 pagi, 20 Julai lepas.

Kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 43(1) APJ 2987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 12 bulan dan denda sehingga RM10,000.

Semua pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee, manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Joan Lee dalam hujahnya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang tinggi sebagai kesedaran pemandu mabuk agar tidak mementingkan diri sendiri.

“Hukuman berat itu mengambil kira kepentingan awam dan mencegah daripada berlakunya kemalangan jalan raya akibat pemandu dibawah pengaruh alkohol.

“Kes mabuk di Tawau juga semakin meningkat, oleh itu hukuman yang lebih tinggi dapat memberi kesedaran serta peringatan kepada tertuduh dan pemandu lain,” katanya. – Info X