Search

Penunggang motosikal maut bertembung lori

September 17, 2026

Info X Reporters

KUNAK: Seorang lelaki berusia 50 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 6, Jalan Kunak-Lahad Datu, di sini, hari ini.

Kemalangan kira-kira jam 11 pagi itu berlaku ketika lori Mitsubishi Rigid dipandu lelaki berusia 20-an dalam perjalanan dari Lahad Datu menuju ke Kunak.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Rejali Angong berkata, motosikal Modenas ditunggang mangsa dipercayai keluar secara tiba-tiba dari simpang di sebelah kanan laluan lori.

“Disebabkan jarak terlalu dekat, pemandu lori tidak sempat mengelak sebelum bertembung dengan motosikal berkenaan.

“Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rejali berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan memastikan keadaan serta jarak selamat sebelum keluar dari simpang.

“Pengguna jalan raya juga diminta bertimbang rasa ketika memandu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya. – Info X