KOTA BELUD: Dua projek jambatan konkrit bernilai keseluruhan RM23.3 juta di Kampung Kaung dan Melangkap dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, di sini, kini siap sepenuhnya.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick, berkata, kemudahan itu memudahkan perhubungan, selain membantu merancakkan kegiatan ekonomi penduduk di kawasan itu.
Beliau berkata, jambatan konkrit Kampung Kaung sepanjang 100 meter melibatkan peruntukan RM14.3 juta, termasuk pembinaan sebuah pembetung bagi laluan anak sungai, dimulakan pada Ogos 2024 dan siap sepenuhnya awal bulan ini.
Beliau yang juga ADUN Kadamaian berkata, jambatan konkrit di Kampung Melangkap pula sepanjang 50 meter dengan kos kira-kira RM9 juta dimulakan pada Februari 2025 dan siap sepenuhnya pada Ogos lalu.
“Kedua-dua jambatan ini akan membawa perubahan besar kepada kegiatan ekonomi dan kehidupan ribuan penduduk di Mukim Kaung dan Mukim Melangkap.
“Sebagai wakil rakyat di kawasan ini, saya yakin kedua-dua projek ini akan menjadi pemangkin kepada kegiatan ekonomi dan meningkatkan kualiti kehidupan ribuan penduduk yang menggunakan kemudahan ini.
“Saya akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi, termasuk JKR Sabah, Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah serta rakan-rakan dalam Kerajaan Negeri dan Persekutuan bagi menjayakan rancangan pembangunan Kadamaian seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020–2035,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau pelaksanaan kedua-dua projek berkenaan bersama pegawai JKR Sabah, Pejabat Daerah Kota Belud dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, pada Khamis.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang menyediakan peruntukan bagi kedua-dua projek itu.
“Terima kasih juga kepada agensi pelaksana, iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, serta syarikat pelaksana yang dilantik kerana memastikan kedua-dua projek ini dapat disiapkan sepenuhnya,” katanya.
Dalam lawatan itu, Ewon turut meninjau Jalan SK Kaung sepanjang tiga kilometer dan Jalan Melangkap-Kebayau yang telah dimasukkan dalam senarai keutamaan untuk dilaksanakan tahun depan menerusi pembiayaan Kerajaan Negeri.
Katanya, cadangan menaik taraf kedua-dua jalan itu dibuat susulan permintaan dan aduan penduduk, selain menjadi sebahagian daripada perancangan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk memastikan pembangunan infrastruktur berskala besar terus dilaksanakan secara berterusan di Kadamaian,” katanya.
Ewon berkata, beberapa lagi projek jalan raya berskala besar kini sedang dilaksanakan di kawasan DUN Kadamaian, termasuk Jalan Sayap, Jalan Tengkurus, Jalan Podos, Jalan Kinasaraban serta Jalan Taginambur- Komburaon. – Info X