TAWAU: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Airport Baru, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa lelaki berusia 29 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan akibat kecederaan parah yang dialami.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 2.30 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah pikap jenis Toyota Hilux dan motosikal jenis Honda Wave Alpha.
“Pada masa kejadian, pemandu pikap berusia 45 tahun dalam perjalanan dari Sin On menuju ke Lapangan Terbang Tawau.
“Apabila tiba di lokasi, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai keluar dari arah kiri jalan dan memasuki laluan hadapan pikap berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat jarak yang terlalu dekat, pemandu pikap tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal berkenaan pada bahagian tepi sebelah kanan.
Menurutnya, impak pelanggaran menyebabkan penunggang motosikal bersama kenderaannya tercampak ke laluan bertentangan sebelum terjatuh ke dalam longkang di bahu kiri jalan.
“Pemandu pikap tidak mengalami sebarang kecederaan manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian,” katanya.
Jasmin menasihatkan semua pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal agar sentiasa memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum memasuki jalan utama bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – Info X