Search

Polis siasat taktik penipuan guna nama PDRM kutip derma untuk Hari Raya

March 30, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Orang ramai diingatkan supaya lebih berwaspada terhadap taktik penipuan terbaharu yang menyamar sebagai pegawai polis untuk meminta sumbangan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kegiatan penipuan itu yang kononnya bagi kutipan sumbangan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Trafik dan Pengangkutan IPK Sabah bagi tahun 2026.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan surat palsu dengan kepala surat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah bagi memperdaya mangsa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mudah mempercayai sebarang permintaan sumbangan terutama yang diterima melalui aplikasi WhatsApp tanpa pengesahan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, orang ramai disaran membuat semakan dengan pihak polis terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

“PDRM menyeru semua lapisan masyarakat supaya sentiasa cakna dengan pelbagai taktik jenayah penipuan yang semakin berleluasa ketika ini,” katanya. – Info X