PUTATAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya melanggar sebuah kereta di simpang jalan, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam 2.38 petang itu, penunggang motosikal lelaki tempatan berusia 56 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, hasil siasatan awal polis di lokasi kejadian mendapati kereta Perodua Myvi dari arah Pekan Putatan menuju ke Kampung Contoh, Petagas.
“Kereta Perodua Myvi melalui jalan lurus telah dilanggar oleh motosikal yang keluar dari simpang Jalan SMK Putatan ke Kampung Contoh, Petagas.
“Akibat daripada pelanggaran itu, penunggang motosikal parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat.
“Pemandu kereta tidak mengalami apa-apa kecederaan fizikal.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sementara itu, Sammy berkata polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan.
“Orang awam dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu di jalan raya,” katanya.
Difahamkan ketika kejadian keadaan hujan lebat. – Info X