KOTA KINABALU: Pelan Transformasi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mesti disiapkan sebelum 2030 dengan memastikan bekalan elektrik yang mencukupi dan stabil bagi memenuhi keperluan pengguna di negeri ini.
Perkara itu ditekankan Datuk Dr Yusof Yacob (GRS-Sindumin) berdasarkan situasi semasa yang memerlukan tindakan serius pemimpin dan kerajaan untuk menyelesaikan masalah elektrik di Sabah.
Katanya, kerajaan juga perlu memastikan jawatankuasa perundingan dengan kerajaan persekutuan mengenai penjanaan elektrik ditubuhkan untuk pengambilalihan SESB oleh kerajaan negeri.
“Kita juga perlu memastikan Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP) 2040 yang telah digubal oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dilaksanakan dan berjalan lancar mengikut jadual,” katanya pada sesi perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Katanya, ketika ini penjanaan tenaga elektrik di Sabah berdasarkan kemampuan janakuasa penyedia tenaga bebas (IPP) dan SESB hanya mencapai 1,303.5 Megawatt (MW) dengan margin simpanan kurang 10 peratus dan dijangka bertambah kepada 1,403.5 MW pada 2026.
Bagaimanapun, katanya jumlah itu tidak mencukupi untuk menyediakan bekalan elektrik yang stabil kepada pengguna di Sabah, malah terpaksa dicatu jika berlaku masalah terhadap loji janakuasa.
Beliau turut menekankan mengenai pemilikan janakuasa, khususnya IPP di Sabah ketika ini yang kebanyakannya dikuasai syarikat luar, selain pembabitan SESB yang hanya menjana sebahagian kecil tenaga yang perlu diubah.
Berikutan itu, Dr Yusof berkata, bagi memastikan penjanaan tenaga elektrik yang cukup, kerajaan negeri dan ECoS perlu memberi kuota penjanaan secukupnya mengikut unjuran kegunaan awam dan industri.
“Untuk memastikan semua penjanaan kuasa elektrik dimiliki oleh kerajaan sama ada terus atau melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kita perlu meneliti beberapa kaedah.
“Antaranya, IPP yang ada tidak disambung apabila tamat konsesi dan hendaklah diganti oleh IPP milik kerajaan atau IPP yang tamat konsesi boleh diberi kepada GLC atau kerajaan negeri setelah dibuat penilaian.
“Ini telah dilakukan oleh Kerajaan Sarawak di mana semua IPP di Sarawak dibeli oleh Sarawak Energy Berhad dan mereka memiliki serta mengurus semua penjanaan di Sarawak,” katanya.
Jelasnya, pelan pelaksanaan mengenai tenaga elektrik di Sabah hendaklah diambil serius kerana ia adalah punca untuk pembangunan negeri, pertumbuhan ekonomi dan keselesaan rakyat.
Beliau juga yakin SESB boleh hidup sendiri tanpa perlu subsidi daripada mana-mana pihak pada masa akan datang.
“Dalam masa yang sama kita perlu mendapatkan cara penjanaan dan kalaupun perlu dinaikkan tarif elektrik rakyat akan faham dan boleh terima dengan syarat bekalan elektrik mestilah mencukupi, stabil dan tiada lagi gangguan,” katanya. – Info X