KOTA KINABALU: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Senallang) menegaskan sebarang teguran yang diluahkan beliau terhadap kerajaan negeri hari ini bukan bermaksud beliau tidak mahu Sabah membangun.
Sebaliknya, Presiden Warisan itu berkata beliau memberikan teguran dengan ikhlas, sama ada di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen atas komitmen untuk membangunkan negeri ini dan negara keseluruhannya.
“Selaku ketua pembangkang, bukan bermakna saya tidak mahu Sabah ini membangun, bukan bermakna saya tidak mahu rakyat Sabah tidak dibantu.
“Kita perlukan teguran di DUN atau Parlimen dan saya menegur termasuk Perdana Menteri, ramai Perdana Menteri, bukan seorang dengan ikhlas kerana kita kena bangunkan negara, bangunkan Sabah.
“Tidak bererti apabila kita menegur dan memberi pandangan, ia tidak boleh diambil kira dan ditentang,” katanya pada sesi perbahasan Persidangan DUN Sabah, hari ini.
Shafie berkata, beliau dari dahulu lagi mahu menyatukan rakyat Sabah, namun menyedari ada pihak yang tidak mahu melihat perkara itu tercapai.
Dalam hal berkaitan, beliau mengingatkan pentingnya belajar daripada sejarah kesilapan lalu untuk menjadikan usaha yang dikaksanakan pada masa ini dan akan datang lebih baik berbanding sebelum ini.
Sementara itu, katanya usaha membasmi kemiskinan tegar di Sabah tidak boleh bergantung hanya kepada data mengenai bilangan orang miskin tegar di negeri ini.
“Apa yang disebut oleh Yang Amat Berhormat (Ketua Menteri) kita perlu teliti secara mendalam (data terbaharu kemiskinan tegar). Ia bukan cara menoktahkan kemiskinan.
“Kemiskinan di Sabah bukan 25,000, bukan 50,000. Saya boleh beritahu di Banggi, malah di Penampang, rumah orang kampung bukan setakat tiada air dan letrik, malah dalam rumah pun bukan seorang ketua isi rumah (KIR).
“Dengan pendapatan RM1,200, kamu fikir dapat mengatasi kemiskinan? Jadi perkara ini perlu dilihat supaya kerajaan negeri dapat ambil langkah teliti, pendekatan yang menyeluruh untuk mengatasi kemiskinan,” katanya.
Katanya, usaha membantu mengatasi kemiskinan rakyat perlu ditumpukan termasuk menerusi aktiviti pertanian sejajar situasi Sabah yang memiliki banyak tanah sesuai diusahakan dengan aktiviti pertanian.
Beliau juga mengingatkan agar kerajaan negeri tidak bergantung kepada maklumat kemiskinan tegar dalam senarai e-kasih, sebaliknya perlu proaktif membantu rakyat miskin melalui Pegawai Daerah, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Ketua Kampung. – Info X