TAWAU: Dua individu maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Batu 16, Jalan Apas Balung, di sini, petang tadi.
Pemangku Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BBP) Tawau, Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.26 petang.
Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Setibanya pasukan bomba pada jam 5.55 petang, didapati kemalangan membabitkan sebuah lori lima tan, Toyota Hilux dan sebuah motosikal.
“Dua mangsa yang terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita, masing-masing penunggang dan pembonceng motosikal, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, dua mangsa lelaki yang berada di dalam lori lima tan sebelum itu tersepit, namun berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan hanya mengalami kecederaan ringan.
“Pemandu Toyota Hilux, seorang lelaki berusia 61 tahun turut mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Katanya lagi, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Manakala mangsa yang cedera pula dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Tiada kerja-kerja penyelamatan dijalankan oleh pasukan bomba dan selepas memastikan keadaan selamat serta tiada bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 6.30 petang,” katanya. – Info X