Search

Perkhidmatan feri KK-Labuan beroperasi semula

May 27, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Perkhidmatan feri Kota Kinabalu-Labuan beroperasi semula selepas beberapa tahun terhenti, sekali gus memperkukuh jaringan pengangkutan laut, memudahkan mobiliti rakyat dan mengembangkan ekonomi rentas wilayah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang melancarkan perkhidmtan itu di Pelabuhan Kota Kinabalu pada Selasa berkata, pengoperasian semula laluan berkenaan bukan hanya satu langkah logistik, tetapi juga isyarat jelas keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat di Sabah dan Labuan.

“Perkhidmatan ini amat penting kepada rakyat. Ia bukan sekadar laluan perhubungan, tetapi penghubung kekeluargaan, pendidikan, pelancongan dan perniagaan yang telah terjalin sejak sekian lama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Jeti dan Perasmian Feri Penumpang Kota Kinabalu-Labuan di Pelabuhan Kota Kinabalu pada Selasa.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Hajiji berkata, gangguan perkhidmatan yang berlaku sebelum ini disebabkan beberapa faktor seperti struktur jeti yang tidak selamat, penarikan subsidi minyak kepada pengusaha serta kesan pandemik COVID-19 menyebabkan kesinambungan mobiliti rakyat terjejas.

Katanya, sebagai langkah penyelesaian segera, terminal feri dipindahkan dari Jesselton Point ke Pelabuhan Kota Kinabalu dengan pengurusan operasi kini dikendalikan sepenuhnya oleh pihak Pelabuhan Kota Kinabalu.

Hajiji merasmikan jeti dan pengoperasian semula perkhidmatan feri KK-Labuan di Pelabuhan Kota Kinabalu.

“Projek ini turut menerima peruntukan RM1.3 juta daripada Kementerian Wilayah Persekutuan bagi kerja-kerja penambahbaikan.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat termasuk Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan (PHEDNP), Lembaga Pelabuhan-Pelabugan Sabah (LPPS), Kementerian Kerja Raya, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kumpulan Suria yang berganding bahu merealisasikan inisiatif ini,” katanya.

Hajiji berkata, perkhidmatan feri itu dijangka memberi impak positif terhadap sektor pelancongan negeri, terutama menjelang Tahun Melawat Sabah 2026.

“Ia juga membuka peluang baharu dalam bidang perdagangan dan pelaburan antara Sabah dan
Labuan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa hubungan antara Sabah dan Labuan tidak hanya terbatas kepada aspek geografi, tetapi turut mencakupi sejarah, budaya dan hubungan sosial yang mendalam, menjadikannya sangat signifikan kepada rakyat kedua-dua wilayah.

Jelasnya, ramai rakyat Sabah bekerja dan menetap di Labuan, dan sebaliknya, menjadikan sambungan semula laluan itu amat bermakna kepada ramai pihak.

Beliau berkata, dengan beroperasinya semula perkhidmatan itu, rakyat kini mempunyai lebih banyak pilihan pengangkutan, sama ada menggunakan laluan udara, jalan darat ke Menumbok atau terus melalui feri ekspres dari Kota Kinabalu ke Labuan seperti sebelum ini.

Jelasnya, pelancaran itu menandakan permulaan kepada satu rangka kerja pengangkutan laut yang lebih kukuh, cekap dan lestari, sesuai dengan aspirasi negeri untuk menyediakan kemudahan mesra rakyat dan mesra alam kepada generasi akan datang.

Beliau memberi jaminan Kerajaan Negeri komited untuk memastikan tiada rakyat yang terpinggir akibat kekangan logistik, sebaliknya pembangunan infrastruktur akan terus dipacu demi kemajuan inklusif.

“Semoga jeti dan perkhidmatan feri ini menjadi jambatan yang menghubungkan bukan sahaja wilayah, tetapi juga silaturahim, peluang ekonomi dan harapan masa depan rakyat,” katanya. – Info X