Search

PRN17: Kerjasama GRS-PH dipertahankan – Hajiji

May 27, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetap mempertahankan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sebagai asas bagi membentuk pakatanPilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerjasama GRS-PH membentuk kerajaan negeri sekarang adalah asas utama yang perlu diambil kira bagi menentukan kerjasama politik pilihan raya.

Jelasnya, pendirian itu sudah disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi PH.

“Kita mahu kerjasama GRS-PH yang ada sekarang kita pertahankan, itu asas kita dan kita sudah sampaikan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

“Jadi yang lain-lain (parti) kita akan berbincang,” katanya ditemui selepas melancarkan jeti dan pengoperasian semula perkhidmatan feri Kota Kinabalu – Labuan di Pelabuhan Kota Kinabalu, di sini, pada Selasa.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan perbincangan kerjasama PRN17 di antara GRS dengan gabungan dan parti lain.

Katanya, setakat ini belum ada sebarang perbincangan atau keputusan mengenai perkara itu memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) belum dibubarkan.

“Belum lagi PRN, bubarpun belum, jadi sabar saja kamu tunggu, nanti kita beritahu,” katanya. – Info X