Search

Perkhidmatan kereta api Beaufort-Tenom beroperasi semula mulai 1 Ogos

July 29, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Perkhidmatan kereta api Beaufort – Tenom yang terhenti berikutan kerosakan landasan sejak beberapa tahun lalu disambung semula mulai 1 Ogos ini.

Berita baik bagi pengguna kereta api di kedua-dua daerah itu dan orang ramai diumumkan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) menerusi perkongsian di laman Facebook jabatan itu pada Selasa.

Ketika ini, perkhidmatan kereta api dari Stesen Beaufort hanya sampai di Stesen Halogilat, manakala kereta api dari arah Tenom hanya setakat di Kampung Pangi.

Dengan tersambungnya semula perkhidmatan perjalanan terus Beaufort-Tenom dan Tenom-Beaufort itu, ia akan memudahkan pergerakan pengguna bagi sektor berkenaan.

Berdasarkan jadual perjalanan yang dikongsikan JKNS, kereta api bergerak dari Stesen Beaufort ke Stesen Tenom pada jam 7.50 pagi dan 1.30 tengah hari dari Isnin hingga Sabtu, manakala jam 7.50 pagi dan 1 tengah hari pada hari Ahad.

Bagi perjalanan Stesen Tenom – Stesen Beaufort pula, kereta api bergerak pada jam 7.30 pagi dan 1 tengah hari dari Isnin hingga Sabtu, manakala jam 7.30 pagi dan 12.30 tengah hari pada Ahad.

Setiap hari hanya dua perkhidmatan kereta api dari kedua-dua stesen dengan jangka masa perjalanan kira-kira dua jam setengah.

Kadar tambang pula RM2.75 seorang bagi dewasa, manakala RM1.40 bagi kanak-kanak untuk satu perjalanan sehala.

Perkhidmatan kereta api masih menjadi pengangkutan penting, terutama kepada penduduk di laluan Beaufort-Tenom kerana ia satu-satunya alat pengangkutan yang ada di kawasan itu. – Info X