Search

Sabah ‘menyala’ di pentas NFD 2025

July 30, 2025

Info X Reporters

TERENGGANU: Pasukan dari Sabah membuktikan mereka bukan calang-calang apabila muncul antara pencabar utama dalam National Firefighter Drill (NFD) 2025 yang berlangsung di Akademi Bomba Wilayah Timur, di sini, sejak 25 Julai lalu dan melabuhkan tirai semalam.

Menerusi penyertaan dalam pelbagai kategori, Sabah bukan sahaja turun beraksi, malah menggempur podium dengan keputusan membanggakan termasuk muncul juara keseluruhan kategori Emergency Response Team (ERT) menerusi pasukan Sabah International Convention Centre (SICC).

Turut menyinar, Airport Fire Rescue Service (AFRS) KKIA yang menyambar tempat kedua kategori Bomba Agensi, membuktikan keupayaan tinggi pasukan ini dalam disiplin kebombaan di lapangan terbang.

Sementara itu, gandingan mantap PBS Kampung Mansud dan PBS Kampung Berangkok, Kuala Penyu turut mencuri tumpuan apabila berjaya meraih naib juara keseluruhan kategori Pasukan Bomba Sukarela.

Tidak ketinggalan, Kontinjen Komuniti Bomba Kampung Bisuang, Papar turut tampil cemerlang apabila menamatkan saingan di tempat kedua keseluruhan bagi kategori Pasukan Bomba Komuniti.

Program NFD 2025 menguji keupayaan fizikal dan mental peserta melalui cabaran berintensiti tinggi, merangkumi pelbagai disiplin kebombaan, simulasi kebakaran serta penyelamatan.

Aspek seperti ketangkasan, kerjasama berpasukan dan kemahiran teknikal menjadi kriteria utama dalam menentukan kejayaan setiap pasukan bertanding.

Kejayaan pasukan dari Sabah ini sekaligus menjadi cerminan komitmen tinggi serta tahap kesiapsiagaan luar biasa pasukan bomba dan sukarelawan negeri itu dalam menangani kecemasan dan melindungi komuniti. – Info X