KOTA KINABALU: Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA) membantah kenaikan mendadak fi lesen yang dikenakan ke atas hotel dan rumah penginapan di bandar raya ini.
Presidennya, Dr Sri Ganesh Michiel, berkata keputusan mengembalikan kadar lesen 1966 seperti diperuntukkan dalam Undang-Undang Kecil (Hotel dan Rumah Lojing) Bandaraya Kota Kinabalu, adalah tidak munasabah dan mengancam kelangsungan operasi hotel di bandar dan negeri Sabah.
Katanya, selama beberapa dekad, hotel di Kota Kinabalu membayar fi lesen yang berpatutan sebanyak RM10 setiap bilik setahun, seperti yang ditetapkan oleh Jemaah Menteri pada 1989.
“Namun, keputusan terbaru untuk kembali kepada kadar lesen 1966, berjumlah antara RM40 hingga RM140 setiap bilik sebulan mengikut klasifikasi dan kadar penghunian hotel menambahkan beban kewangan yang tidak tertanggung kepada pengusaha hotel.
“Sebagai contoh, di bawah struktur kadar baru ini, sebuah hotel dengan 100 bilik yang diklasifikasikan sebagai Hotel Kelas Kedua kini perlu membayar RM80 bagi setiap bilik yang dihuni setiap bulan.
“Jika hotel mencapai kadar penghunian 60 peratus atau 1,860 bilik sebulan, jumlah fi lesen bulanan akan mencecah RM4,800 sebulan atau RM57,600 setahun, satu kenaikan yang sangat drastik berbanding kadar asal RM1,000 setahun.
“Ini adalah kenaikan kos yang tidak munasabah dan tidak mampan yang akan menyebabkan banyak hotel di Kota Kinabalu terpaksa gulung tikar, mengakibatkan kehilangan pekerjaan dan mengurangkan pilihan penginapan mampu milik untuk pelancong,” katanya dalam satu kenyataan.
Ganesh berkata, kenaikan fi lesen itu menjadi lebih tidak adil kerana kurangnya penguatkuasaan terhadap penginapan sewa jangka pendek (STRA) yang beroperasi secara tidak berlesen melalui platform dalam talian.
Katanya, hotel dikenakan peraturan ketat, termasuk keperluan lesen, pembayaran cukai serta pematuhan terhadap peraturan kesihatan dan keselamatan.
“Sebaliknya, pengusaha STRA bebas beroperasi tanpa sebarang penguatkuasaan atau cukai, walaupun mereka secara langsung bersaing dengan hotel dan mendapat manfaat daripada pasaran pelancongan yang sama.
“Ini mencipta ketidakseimbangan dalam persaingan, di mana hotel yang sah dihukum dengan caj tinggi, sementara penginapan tidak berlesen beroperasi tanpa beban kewangan,” katanya.
Beliau berkata, MyBHA berulang kali menggesa Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) untuk menangani isu STRA tetapi sehingga kini tiada tindakan konkrit diambil.
Berikutan kesan buruk keputusan itu, katanya MyBHA menggesa Kerajaan Negeri, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan semua pihak berkepentingan untuk segera mengambil tindakan sewajarnya.
“Pertama, mengembalikan kadar fi lesen RM10 setiap bilik setahun seperti yang ditetapkan sejak 1989 bagi memastikan daya tahan dan kelangsungan perniagaan Industri Perhotelan.
“Segera menangguhkan penguatkuasaan kadar fi lesen yang tinggi ini, bagi mengelakkan tekanan kewangan yang tidak wajar dan memberi ruang untuk sesi libat urus dengan pihak industri.
“Memberikan tempoh bertenang (grace period) serta mengadakan sesi konsultasi dengan pemain industri sebelum melaksanakan sebarang perubahan drastik yang menjejaskan pengusaha hotel.
“Mewujudkan kawal selia ketat dan mengenakan cukai kepada operator STRA bagi memastikan persekitaran perniagaan yang adil dan mengelakkan kezaliman terhadap Industri Perhotelan,” katanya.
Jelasnya, jika isu itu tidak ditangani segera, ia akan memberi kesan buruk kepada industri pelancongan di Kota Kinabalu.
Katanya, pelabur juga tidak berminat untuk melabur seperti pembinaan hotel baharu akibat keadaan perniagaan yang tidak kondusif, sekali gus menyebabkan hotel yang menjadi elemen penting menarik pelancong domestik dan antarabangsa akan terus terjejas. – Info X