Search

Kaji sebelum salahkan UMNO, tegur Alfian kepada pemimpin PAS

March 4, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang pemimpin UMNO Sabah meminta pemimpin PAS Sabah supaya membuat kajian terlebih dahulu sebelum menyalahkan UMNO berhubung isu infrastruktur di negeri ini.

Teguran Penolong Setiausaha UMNO Sabah, Alfian Sambas terhadap Setiausaha PAS Sabah, Sahar Abdul Majid itu berhubung kait dengan masalah kerosakan jalan raya dan isu bekalan air.

Alfian berkata, pemimpin PAS dari Sandakan itu yang disifatkannya baru memasuki dunia politik perlu memahami struktur pentadbiran kerajaan negeri dan persekutuan sebelum mengeluarkan kenyataan tidak berasas.

“Saya faham PAS di Sabah umpama hidup segan mati tak mahu. Mereka baru setahun jagung dalam politik, jadi kaji terlebih dahulu sebelum menyalahkan UMNO dalam perkara yang bukan tanggung jawab kami. Jangan bercakap tanpa memahami asas dan tanggung jawab yang sebenar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Katanya, jika Sahar dan pemimpin PAS ingin membangkitkan isu seperti jalan yang teruk dan bekalan air tidak mencukupi, mereka perlu memahami bahawa masalah itu adalah tanggung jawab kerajaan semasa yang kini diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Jelasnya, sebagai kerajaan yang memimpin, GRS adalah pihak yang bertanggung jawab untuk memastikan masalah bekalan air dan kemudahan jalan raya diselesaikan dengan baik.

“Jika Sahar tidak faham, saya sarankan dia belajar semula di mana-mana sekolah agar dia lebih memahami struktur pentadbiran kerajaan negeri dan tanggung jawab kerajaan semasa.

“Jangan hanya bercakap tanpa asas yang jelas. Jangan pula cuba menafikan usaha-usaha yang telah dilakukan oleh UMNO dalam membangun negeri Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Alfian turut mengingatkan projek besar yang dilaksanakan UMNO sepanjang mentadbir Sabah sebelum ini seperti Lebuh Raya Pan Borneo, pembangunan infrastruktur jalan raya, penubuhan Universiti Malaysia Sabah (UMS), kemudahan kesihatan, program kebajikan rakyat dan pembangunan sektor pelancongan memberi manfaat besar kepada rakyat Sabah.

Selain itu, katanya hampir 50,000 unit PPRT telah dibina untuk menyediakan tempat tinggal yang selesa kepada rakyat yang memerlukan.

“Janganlah cuba menafikan sumbangan UMNO Sabah dalam membawa kemajuan kepada negeri ini.

“Saya juga ingin mengingatkan kepada pemimpin dalam GRS hari ini bahawa ketua parti mereka juga dahulu bersama UMNO dalam usaha membangunkan negeri ini. Jangan pura-pura hilang ingatan dan cuba menafikan sejarah,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa pembangunan negeri ini adalah hasil kerjasama banyak pihak, termasuk UMNO, yang meletakkan asas kukuh untuk kemajuan yang kini dinikmati rakyat Sabah.

“Sebagai pemimpin, kita harus menghargai sejarah dan menghormati perjuangan bersama demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.

Sebelum ini, Sahar dilaporkan berkata janji yang dikemukakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu masalah air, elektrik dan jalan raya di negeri ini dimasukkan dalam manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN17) perlu diteliti sebelum dipercayai.

Katanya UMNO pernah memerintah Sabah dari 1995 hingga 2018, namun isu seperti kerosakan jalan, bekalan air yang tidak mencukupi dan masalah elektrik tidak pernah diselesaikan secara tuntas.

Malah, katanya sekarang UMNO sudah kembali berada dalam kerajaan persekutuan tetapi masih gagal menyelesaikan masalah yang sudah lama berlarutan di Sabah.

Beliau turut merujuk kawasan Kinabatangan yang diwakili Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sejak berpuluh tahun yang masih berdepan masalah jalan raya rosak, bekalan air dan elektrik yang tidak pernah selesai. – Info X