KOTA KINABALU: Dua individu termasuk seorang warga emas ditahan bersama 3,158 gram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM101,000 dalam serbuan di kawasan Api-Api Centre, di sini, pada 27 Februari lalu.
Kedua-dua individu berusia 25 dan 70 tahun itu dipercayai bertindak sebagai transporter dan memperoleh upah sekitar RM2,000 hingga RM3,000 bagi setiap sekilogram syabu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, bertindak atas maklumat risikan, dua suspek wanita dan lelaki warga emas terbabit berjaya ditahan dalam operasi di kawasan Api-Api Centre.

Katanya, hasil pemeriksaan di dalam beg kertas yang dibawa suspek wanita terbabit menemui dadah jenis syabu seberat 1,048 gram.
“Susulan daripada tangkapan itu membawa kepada rampasan dadah jenis syabu seberat 2,110 gram di sebuah rumah di Penampang menjadikan jumlah keseluruhan rampasan seberat 3,158 gram.
“Hasil siasatan mendapati, modus operandi sindiket adalah mengedar dadah dengan kuantiti banyak sebelum dijual dalam paket kecil sesuai dengan permintaan penagih di daerah Kota Kinabalu dan Penampang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut kasim berkata, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM101,000 berdasarkan harga pasaran semasa dan boleh digunakan oleh seramai 15,790 penagih.
Katanya, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati hanya suspek wanita positif dadah jenis ketamin, methaphetamine dan amphetamine.
“Sindiket ini dipercayai aktif beroperasi sejak tahu lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
“Kedua-dua suspek ditahan reman bermula 27 Februari lalu untuk siasatan lanjut dan pihak polis turut mengambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988 dengan menyita sebuah kereta Proton Satria, tiga cincin, tiga jam tangan dan wang tunai berjumlah RM1,066.
“Jumlah keseluruhan sitaan harta dan dadah dianggarkan bernilai 427,109 dan siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas,” katanya. – Info X