Search

Persidangan DUN : Beri peruntukan tambahan tangani isu air, elektrik dan jalan luar bandar

July 9, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri disaran menimbangkan perbelanjaan tambahan bagi membiayai projek luar bandar yang memberi kebaikan dan impak besar kepada rakyat, khususnya kemudahan bekalan air, elektrik dan jalan raya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yasin, memberi contoh dalam isu bekalan air bersih, kerajaan boleh meneliti untuk meneroka sistem telaga tiub paip graviti.

Katanya, sistem itu boleh dibangunkan di kawasan luar bandar untuk menampung ketidakcukupan air dan usaha memastikan rakyat luar bandar mendapat bekalan air bersih.

“Pertanyaan saya, adakah pihak kerajaan telah meneliti atau melakukan kajian mengikut kesesuaian setiap daerah dan DUN bagi membangunkan cadangan bekalan alternatif ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2024 pada Persidangan DUN Sabah, di sini, hari ini.

Abdul Ghani berkata, kerajaan juga perlu meneliti untuk menyelenggara atau menaik taraf jalan perhubungan atau jalan bekas pembalakan di kawasan pedalaman.

“Dalam beberapa sesi mesyuarat yang lalu saya sudah beberapa kali menekankan perkara ini agar diambil perhatian serius untuk tindakan yang sepatutnya.

“Pada saya adalah wajar untuk kerajaan memperuntukkan sejumlah dana bagi memastikan jalan-jalan bekas pembalakan yang kini menjadi laluan perhubungan utama masyarakat di kawasan pedalaman.

“Buktinya, di kawasan saya sendiri apabila peruntukan pembangunan tidak dapat membiayai banyak keperluan infrastruktur asas, ada segelinitir rakyat yang tidak dapat menunggu lama kerana mereka sudah bersabar sekian lama.

“Mereka terpaksa berkorban dan berpakat untuk sama-sama bergotong-royong membaiki jalan perhubungan seperti jambatan yang kayu sudah usang dan mudah runtuh, jalan perhubungan yang tiada sistem perparitan,” katanya.

Keadaan itu katanya menyedihkannya dan atas sebab itu beliau memohon agar perkara itu diteliti kembali dan diperhalusi oleh kerajaan negeri agar disediakan peruntukan tambahan bagi menangani isu itu.

Beliau turut menyentuh mengenai isu bekalan elektrik dan jaringan internet yang wajar diteliti pihak kerajaan dan menggandakan projek bekalan alternatif yang sesuai di kawasan luar bandar.

Antaranya, beliau berkata memperuntukkan sejumlah dana bagi membiayai projek tenaga solar atau GenSet di kawasan kampung terpencil di pedalaman yang belum mendapat bekalan elektrik.

“Begitu juga dengan jaringan keperluan asas internet yang pada pemerhatian dan pengalaman saya pada ketika ini masih banyak kawasan yang belum mendapat jaringan internet terutama kawasan perkampungan di luar bandar.

“Persoalannya, apakah status terkini projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan JENDELA kita pada landasan yang tepat. Adakah projek-projek ini masih rancak diteruskan atau bagaimana,” katanya. – Info X