Search

Persidangan DUN : Nyatakan status cadangan pemindahan KKIA – Dr Yusof

July 9, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kabinet negeri perlu menyatakan status terkini cadangan pemindahan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke lokasi baharu di Kimanis.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, berkata cadangan itu pernah dipersetujui Kabinet negeri dan satu Kajian Kebolehlaksanaan telah dilakukan.

“Laporan Kajian Kebolehlaksanaan itu dibuat oleh perunding dan sudah dibentang tetapi Kabinet negeri belum membuat keputusan. Jadi saya minta Kabinet negeri menyatakan apakah statusnya, jadi dipindah atau cuma bertahan di KKIA.

“Walaupun Kementerian Pengangkutan melalui Menterinya Anthony Loke telah mengemukakan untuk menaik taraf KKIA, kita kena melihat jangka panjang bahawa naik taraf KKIA ini tidak menyelesaikan masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad berkata, keluasan KKIA 900 ekar dengan hanya ada satu landasan tidak dapat menampung keperluan semasa.

Katanya, pada masa depan, KKIA perlu ada dua landasan bagi memenuhi keperluan industri penerbangan di negeri ini.

“Lihat Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta Jakarta ada tiga landasan, begitu juga Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong dan Lapangan Terbang Changi Singapura.

“Keluasan lapangan terbang antarbangsa ini paling kurang 3,100 ekar. Sebagai contoh Lapangan Terbang Changi Singapura 6,100 ekar, KLIA Sepang 5,000 ekar. Keluasan KKIA 900 ekar memang tidak cukup untuk memenuhi keperluan semasa terkini lapangan antarabangsa.

“KKIA adalah lapangan terbang kedua tersibuk di negara ini. Kita ada potensi kerana lokasi dengan ada penerbangan terus dari Nusantara, Indonesia dan China,” katanya.

Beliau menambah KKIA juga tidak dapat menampung keperluan penumpang di bangunan itu sendiri seperti kaunter Jabatan Imigresen dan tempat mengambil beg bagasi.

Dr Yusof berkata, faktor lokasi jauh jika KKIA dipindahkan ke Kimanis bukan satu halangan disebabkan beberapa lapangan terbang di negara lain juga terletak jauh dari pusat bandar.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok terletak 31 kilometer dari pusat bandar Bangkok, Lapangan Terbang Antarabangsa Jakarta (40 km), KLIA (60km)..Kimanis terletak 47 KM dari Kota Kinabalu.

“Diharapkan Kerajaan mempertimbangkan semula dan ini pelaksanaannya perlu mengambil masa lima hingga tujuh tahun,” katanya. – Info X