Search

Persidangan DUN : Status HQE2 tidak berubah, pusat jantung hanya di tingkat 8

July 9, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2) yang akan dinaik taraf sebagai hospital pakar jantung kekal dengan nama dan fungsinya seperti yang ada sekarang.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib, berkata walaupun hospital itu sebelum ini diumumkan akan dijenamakan sebagai Pusat Jantung Sabah (PJS), hanya tingkat lapan yang digunakan untuk rawatan jantung.

Sehubungan itu, katanya hospital berkenaan masih menempatkan pesakit untuk rawatan penyakit lain seperti yang ditawarkan pada masa ini.

“HQE2 masih menerima pesakit lain dari seluruh Sabah walaupun statusnya dinaik taraf sebagai institut jantung bagi negeri ini.

“Ini kerana kemudahan untuk rawatan pesakit jantung itu hanya di wad tingkat lapan sahaja. Selebihnya (tingkat lain) adalah untuk pesakit lain.

“Sebab itu peruntukan sebanyak RM80 juta (diumumkan Perdana Menteri sebelum ini) digunakan untuk memperbesarkan unit kecemasan dan menaik taraf katil pesakit di wad jantung.

“Peruntukan itu juga bagi menambah doktor pakar. Kalau dulu pembedahan hanya seorang hingga empat pesakit sehari tetapi dengan adanya peruntukan itu mungkin boleh tambah hingga 10 pesakit jantung dibedah setiap hari,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau yang juga EXCO Kesihatan negeri menjawab soalan tambahan Datuk Jaujan Sambakong (WARISAN – Sulabayan) mengenai status HQE2 pada sesi soal jawab lisan, hari ini.

Pada April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM80 juta bagi menaik taraf HQE2 sebagai pusat jantung.

James berkata, nama dan fungsi HQE2 sekarang kekal, manakala rawatan jantung akan dipindahkan apabila sebuah bangunan baharu yang dicadang dijadikan Pusat Jantung Sabah sepenuhnya, siap dibina.

“Tapak tanah seluas 10 ekar (empat hektar) untuk Pusat Jantung Sabah itu sudah ada iaitu berdekatan dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS). Tanah itu memang khas untuk pusat jantung,” katanya. – Info X