Search

‘Showcase Darkest Knight’ pertama Velvet di Sabah penuh emosi, meriah

July 8, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Persembahan penuh emosi dan meriah, itulah yang berlaku pada ‘showcase’ Velvet Aduk yang ‘menghidangkan’ lagu-lagu daripada album terbaharunya Darkest Knight di Crooners’ Bar, di sini, Sabtu lalu.

Ia merupakan persembahan solo pertama Velvet di negeri kelahirannya selepas kejayaan ‘showcase’ seterusnya pelancaran album berkenaan yang berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Saya sentiasa ingin membawakan album ini secara langsung di kampung halaman saya, dan saya gembira kerana dapat melakukannya di Crooners,” katanya.

Velvet berkata, beliau mengambil masa kira-kira setahun untuk menyiapkan album berbahasa inggeris pertamanya itu.

Katanya, kesemua 14 lagu dalam album Darkest Knight adalah hasil ciptaannya sendiri dengan dibantu dua rakan baiknya di KUPIKUPI FM iaitu Andy O’Mail serta Brandon Laurie.

“Kami telah bekerja keras untuk album ini bersama-sama. Mereka (Andy dan Brandon) banyak membantu saya, dan saya gembira dapat berkongsi hasil seni ini dengan para pendengar saya…Sesuatu yang saya impikan kini telah menjadi kenyataan,” katanya.

‘Showcase’ Velvet di Crooners itu dipenuhi oleh peminat-peminat lama dan baharunya, malah, tiket yang dijual sebelum ini juga ‘sold out’.

Kehadiran rakan-rakan serta keluarganya juga menjadikan persembahan penyanyi berusia 37 tahun itu lebih bermakna dan penuh emosi.

Pada malam itu, sebanyak 21 lagu telah dipersembahkan Velvet termasuk 14 lagu dari album Darkest Knight seperti Stars’ Not Aligned, Just a Fool dan sudah pastinya lagu Darkest Knight.

Selain itu, persembahan pada malam itu juga gempak menerusi lagu-lagunya yang menjadi kegilaan peminat seperti lagu baharu berbahasa Iban dengan kolaborasi terkini bersama Alena Murang yang bertajuk Bejugit Betanda Menari.

Selain itu, Velvet juga tidak ketinggalan untuk menghiburkan para hadirin dengan lagu-lagu ‘catchy’ bersama KUPIKUPI FM iaitu Tiga Kali Satu Hari dan lagu terbaharu dihasilkan stesen radio berkenaan yang bertajuk Idola.

‘Showcase’ Velvet pada malam itu juga menjadi gamat pada penghujung persembahan apabila rakan baiknya Marsha Milan Londoh naik ke pentas untuk sama-sama menyanyikan lagu popular mereka iaitu Oi Gaman dan Sumandak Sabah.

Acara hebat hebat berkenaan dijayakan hasil usahasama Red Velvet Music, rakan radio rasmi KUPIKUPI FM Sabah, JW Promotions, Crooners’ Bar Kota Kinabalu, dan Mega Boogie Sound & Light Revolution. – Info X