Search

PERTISA intai peluang sektor pelancongan, pertanian tingkatkan ekonomi artis Sabah

April 13, 2026

Info X Reporters

TAMPARULI: Persatuan Artis Tempatan Sabah (PERTISA) menggariskan beberapa usaha baharu untuk membantu meningkatkan taraf ekonomi artis tempatan negeri ini, termasuk melalui bidang pelancongan dan pertanian.

Ia antara matlamat dan perancangan persatuan itu yang bakal dilaksanakan bermula tahun ini hingga 2028, selain mengembangkan lagi industri muzik dan hiburan tempatan.

Presidennya, Guadik Ansiw, yang dipilih mengetuai semula persatuan itu bagi tempoh 2026-2028, berkata PERTISA akan mencari peluang yang sesuai untuk diterokai dalam kedua-dua bidang itu.

Katanya, meneroka peluang dalam bidang ekonomi itu sejajar usaha PERTISA membantu artis di bawah naungannya bagi menghadapi cabaran era baharu.

“Antara matlamat dan perancangan PERTISA sepanjang 2026-2028 ialah mencari peluang-peluang baharu selain bidang muzik dan hiburan bagi meningkatkan taraf ekonomi artis tempatan Sabah, misalnya dalam bidang pelancongan dan pertanian.

“PERTISA juga merancang untuk membuat pelbagai aktiviti yang memberi manfaat dan impak positif kepada ahli dan masyarakat setempat,” katanya mengulas hala tuju PERTISA selepas Mesyuarat Agung Tahunan persatuan itu di Dinamik Borneo, di sini, pada Sabtu.

Guadik atau Adex yang juga artis dari etnik Tatana, berkata PERTISA juga merancang untuk menjalin hubungan strategik dengan pihak berkaitan bagi promosi, kemudahan dan peluang-peluang baharu dalam bidang hiburan.

Di samping itu, katanya soal kebajikan ahli dan persatuan juga akan terus diberi perhatian menerusi usaha berterusan untuk kepentingan ahli dan PERTISA sendiri.

“Selaras dengan itu juga, kita mengajak artis tempatan Sabah yang belum berdaftar dengan PERTISA atau belum menyertai mana-mana persatuan seni untuk menyertai keluarga besar PERTISA.

“Ini kerana banyak manfaat .yang kita boleh nikmati apabila berada dalam bumbung dan matlamat yang sama dalam dunia muzik dan hiburan,” katanya.

Pada AGM itu, Guadik dipilih semula menerajui PERTISA bagi tempoh 2026-2028.

Berikut ialah senarai kepimpinan baharu PERTISA yang dipilih bagi tempoh 2026-2028.

Presiden: Guadik Ansiw@Adex
Timbalan Presiden: James Sami
Setiausaha: Clarice FE Sipanul
Timbalan Setiausaha: Jovita Robert Johnny
Bendahari: Mohammed Yassin Sarakawi @Emjay
Naib Presiden 1 (Pentadbiran): Ronney G Sigoh
Naib Presiden 2( Kewangan): Dr Ts Lanree Asing
Naib Presiden 3 (Keahlian): Norlina Datuk Light @ DJ Selina Naib Presiden 4 (Aktiviti): Clarice John Mattha

AJK: Daniel Bansatan, Justinus Asong, Donny Reyn, Sylviana Viana Saiki, Jalius Bongul. – Info X