Search

Seleweng diesel tumpas lima ditahan, 6,230 liter dirampas

April 13, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Kegiatan penyelewengan minyak diesel terbongkar apabila Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menyerbu sebuah premis di Kampung Kibabig, di sini, semalam.

Dalam serbuan itu, lima lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan, manakala pelbagai peralatan termasuk sebuah lori tangki dan pam elektrik yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan turut dirampas.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 6,230 liter minyak diesel disimpan di lokasi terbabit.

“Berdasarkan harga semasa, diesel itu dibeli pada kadar RM2.15 seliter dengan nilai keseluruhan RM13,394.50.

“Bagaimanapun, bahan api berkenaan dipercayai akan dijual ke pasaran industri pada harga sekitar RM6.50 seliter, menjadikan nilai keseluruhan mencecah RM41,865.60,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kenderaan turut dirampas dalam serbuan di Kampung Kibabig, Penampang.

Menurutnya, kegiatan itu menyebabkan ketirisan subsidi dianggarkan sebanyak RM28,471.10.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Beliau berkata, penyelewengan minyak subsidi memberi kesan negatif kepada negara termasuk menjejaskan ekonomi serta mengurangkan hasil kerajaan yang sepatutnya dinikmati rakyat.

“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti ini demi memastikan kesejahteraan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara,” katanya. – Info X