Search

PGA rampas rokok seludup bernilai RM283,640 di Tawau

January 25, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas rokok bernilai RM283,640 disyaki diseludup masuk dari negara jiran di sebuah penempatan setinggan di daerah ini, semalam.

Semua rampasan berkenaan dilakukan oleh Task Force Perisikan Batalion 14 PGA Tawau menerusi Op Taring Alpha.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 Tawau, Pemangku Superintenden Anselinus Marcus berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kegiatan penyeludupan rokok di kawasan berkenaan.

Katanya, pasukan Task Force Perisikan Batalion 14 PGA Tawau terus menjalankan serbuan di kawasan berkenaan yang diketuai oleh Ketua Platun Tektikal, Inspektor Ismail.

“Ketika serbuan dilakukan, dua lelaki dikesan dalam keadaan mencurigakan sedang membawa kotak ke dalam sebuah bangunan kosong.

“Apabila cuba didekati, kedua-dua suspek terbabit melarikan diri ke kawasan perkampungan setinggan atas air berhampiran bangunan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rokok disyaki diseludup dari negara jiran.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemukan 17 kotak mengandungi pelbagai jenis rokok dianggarkan bernilai RM283,640 disyaki diseludup dari negara jiran.

“Semua rampasan berkenaan diserahkan ke Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya. – Info X