Search

Kerajaan tambah baik pemeliharaan warisan budaya, pengurusan alam sekitar

January 25, 2025

Info X Reporters

PAPAR: Kerajaan negeri mempergiatkan usaha menambah baik pemeliharaan warisan budaya dan pengurusan alam sekitar untuk terus memacu dan memperkasa industri pelancongan Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata bagi menyokong usaha itu, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM102.87 juta kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar untuk operasi dan pelaksanaan pelbagai program serta projek pembangunan pada tahun ini.

Beliau berkata, industri pelancongan negeri ini memerlukan lebih banyak produk baharu yang boleh menjadi tarikan kepada pelancong dari dalam dan luar negara memandangkan Sabah.

Katanya, ia sejajar kelebihan negeri ini yang mempunyai pelbagai sumber pelancongan yang boleh dipelbagaikan sama ada berasaskan flora dan fauna atau khazanah budaya serta warisan etnik negeri ini.

Sejajar dengan harapan itu, beliau mengajak pemain industri pelancongan di negeri ini untuk meneroka idea baharu bagi menghasilkan produk pelancongan menarik, sekali gus memastikan Sabah terus menjadi pilihan pelancong dalam dan luar negara.

“Usaha kita untuk menarik kehadiran pelancong ke Sabah dengan meningkatkan produk pelancongan juga selari dengan komitmen kerajaan Malaysia untuk menjayakan kempenTahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 yang menyasarkan lebih 35 juta pelancong.

“Walaupun Sabah menyasarkan seramai 3.7 juta pelancong, namun sebagai persediaan untuk TMM 2026, kita mesti bersedia menerima kehadiran lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Hajiji menyempurnakan pecah tanah Kompleks Kebudayaan Sabah di Kinarut.

“Justeru, pemain industri harus sedia dan lebih kreatif untuk menambah produk baharu pelancongan negeri ini,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Kompleks Kebudayaan Sabah di Kinarut, dekat sini, pada Sabtu.

Hajiji berkata, pemain industri pelancongan, termasuk dalam kalangan usahawan muda perlu terus menggunakan teknologi baharu dalam mempromosikan produk pelancongan berasaskan kebudayaan tempatan.

Jelasnya, cara itu boleh memperkenalkan keunikan kebudayaan Malaysia, sekali gus menarik minat pelancong berkunjung ke negara ini.

Selain itu katanya, pembangunan produk pelancongan yang baharu juga mampu menyediakan peluang pekerjaan serta memberi peluang kepada komuniti tempatan untuk terlibat dan menikmati manfaat daripada industri pelancongan.

Beliau yakin Kompleks Kebudayaan Sabah yang melibatkan pembinaan dua komponen utama, iaitu Kampung Budaya dan Pusat Kebudayaan akan menjadi produk pelancongan baharu yang menawarkan pengalaman unik, inovatif dan berbeza daripada pelancongan sedia ada.

Katanya, kompleks itu juga akan menjadi tambahan kepada pusat kebudayaan sedia ada di negeri ini iaitu Pusat Kebudayaan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun, Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah dan Pusat Kebudayaan Murut Tenom.

Hajiji pada Majlis Pecah Tanah Kompleks Kebudayaan Sabah di Kinarut, dekat sini, pada Sabtu.

Hajiji berkata, pembinaan Kompleks Kebudayaan Sabah menerusi kerjasama pintar antara Kerajaan Negeri dan sektor swasta adalah bukti komitmen berterusan daripada kerajaan untuk mewujudkan kompleks pertama yang akan menghimpunkan warisan budaya pelbagai etnik di negeri ini.

“Ini menandakan permulaan kepada satu lagi mercu tanda penting bagi Sabah yang mencerminkan hasrat kita untuk memelihara, menghargai dan mengangkat warisan budaya negeri yang kaya dengan keunikan etnik dan tradisinya.

“Kerajaan negeri akan memastikan pembangunan projek ini dapat dilaksanakan dengan cermat, mengikut garis panduan dan peraturan yang telah ditetapkan.

“Manfaat daripada kejayaan projek ini bukan saja dinikmati oleh generasi masa kini, malah pada masa akan datang,” katanya.

Hajiji juga menyeru semua pemimpin masyarakat, ketua jabatan dan agensi kerajaan persekutuan serta negeri, badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dan semua lapisan masyarakat negeri ini agar terus memperkasa dan memelihara seni, budaya dan warisan bangsa yang ada di negeri ini.

“Marilah kita bersama-sama menyokong usaha ini demi merealisasikan impian menjadikan Sabah sebagai negeri yang kaya dengan warisan dan budaya,” katanya. – Info X