TAWAU: Polis menahan tujuh lelaki termasuk warga emas bagi membantu siasatan berhubung membuat rusuhan sehingga mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki di daerah ini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, polis menerima laporan kejadian rusuhan itu daripada mangsa.
Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
“Hasil siasatan awal, punca kejadian itu disebabkan daripada perasaan tidak puas hati salah seorang suspek sehingga mangsa dipukul dan cedera di bahagian tangan kiri.
“Susulan itu, pasukan polis berjaya menahan tujuh lelaki berusia 22 hingga 68 tahun dan merampas sebatang paip Polivinil klorida (PVC) disyaki digunakan oleh suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jasmin berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1958/63.
“Semakan rekod jenayah lampau mendapati enam daripada suspek pernah disabitkan dengan pelbagai kes jenayah seperti dadah, jenayah dan sebagainya,” katanya. – Info X