Search

Piala AFC : Sabah FC tidak ambil mudah cabaran HGFC

September 20, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Walaupun mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri, Sabah FC tidak mengambil mudah cabaran kelab dari Singapura, Huogang United FC (HGFC) apabila dua pasukan itu bertemu dalam aksi Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), di Stadium Likas, malam esok.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata, walaupun pasukan pelawat berdepan suasana berbeza bermain di padang rumput sebenar berbanding padang rumput tiruan di Singapura, ia bukan halangan untuk pasukan berkenaan bermain baik.

Katanya, beliau juga tidak mengambil mudah kelebihan dari segi pemain yang mana Sabah FC dibarisi beberapa pemain berpengalaman di peringkat lebih tinggi, khususnya dalam kejohanan antarabangsa.

“Dalam setiap perlawanan adalah berbeza terutama dalam Piala AFC.

Walaupun mereka bermain di Singapura dengan padang tiruan tetapi saya percaya mereka telah bersama agak lama dan kita tidak boleh mengambil mudah.

“Dalam masa yang sama kita tahu apa yang kita perlu lakukan esok untuk kita mendapatkan keputusan yang positif,” katanya pada sidang media menjelang perlawanan pembuka tirai Piala AFC 2023 bagi Kumpulan H, di sini, hari ini.

Ketua Jurulatih HGFC, Marko Kraljevic, dalam sidang media terdahulu mengakui bermain di padang rumput sebenar mungkin satu kelemahan yang dihadapi anak buahnya memandangkan di Singapura mereka hanya bermain di padang tiruan.

Sementara itu, Kim Swee berkata beliau percaya anak buahnya mampu mengawal tekanan dengan baik ketika menentang HGFC esok berdasarkan pengalaman yang ada bermain di peringkat antarabangsa sebelum ini.

“Pemain Sabah mempunyai pengalaman yang luas di peringkat antarabangsa dan mampu mengawal tekanan dengan baik terutama pengalaman bermain di peringkat lebih tinggi. Jadi ini satu kelebihan untuk kita, namun kita tidak boleh ambil mudah perlawanan ini,” katanya.

Beliau menekankan skuad bimbingannya mempunyai objektif dalam setiap kejohanan yang disertai iaitu mahu bermain sejauh yang boleh seperti dilakukan pasukan yang pernah ke kejohanan Piala AFC sebelum ini.

“Sudah tentu kita ingin layak sejauh mungkin dalam Piala AFC seperti mana dilakukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan pasukan Kuala Lumpur sebelum ini.

“Namun, kita harus fokus kepada satu perlawanan ke satu perlawanan di mana ini penting bafi memastikan kita tidak memikirkan terlampau jauh kerana banyak lagi perlawanan yang perlu kita lalui selain Piala AFC,” katanya.

Mengenai kesebelasan utama, Kim Swee berkata setakat ini beliau akan mengekalkan semua pemain yang berada dalam skuad Liga Super untuk bermain menentang HGFC esok.

Beliau turut mengharapkan kedatangan penyokong Sabah FC ke Stadium Likas esok untuk menyemarakkan semangat pasukan bagi menghadapi saingan pertama Piala AFC setelah sekian lama pasukan Sabah tidak menyertai kejohanan seumpama itu.

“Walaupun esok bukan malam minggu dan kita juga tahu Sabah ini besar di mana mereka harus kembali bekerja pada hari esoknya tetapi saya percaya dengan adanya penyokong yang setia tentu akan membantu pasukan Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, penyerang Sabah, Darren Lok menyifatkan perlawanan Piala AFC esok bukan sesuatu yang mudah namun beliau dan rakan sepasukan sudah sedia memberikan persembahan terbaik untuk skuad Sang Badak. – Info X