Search

Sabah catat 382 kes keganasan rumah tangga tahun lalu

September 20, 2023

Info X Reporters

LAHAD DATU: Sebanyak 382 kes keganasan rumah tangga direkodkan di negeri ini, sepanjang tahun lalu dengan Tawau mencatat kadar tertinggi iaitu 93 kes.

Daerah berkenaan juga turut merekodkan sebanyak 14 kes keganasan rumah tangga bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng berkata, jumlah itu diperolehi berdasarkan statistik yang diterima daripada Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Kontinjen Polis Sabah.

Katanya, program-program kesedaran sedang dan akan dilaksanakan di setiap daerah bagi membendung masalah ini terus berlaku.

“Sejak program kesedaran dilaksanakan, kita dapati statistik kes keganasan rumah tangga ini semakin menurun berbanding tahun lalu.

“Kita bersyukur ia semakin terkawal dan saya berharap pada masa akan datang dapat mencapai sifar kes,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Outreach Santuni Wanita ‘Merakyatkan Perkhidmatan Ke Arah Kesejahteraan Wanita’ yang melibatkan 350 peserta dari Kunak, Silam, Segama dan Tungku, semalam.

Flovia berharap supaya semua pihak terutamanya Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dan agensi kerajaan negeri terus mengembleng tenaga dan tetap giat melaksanakan program kemasyarakatan.

“Jadikanlah usaha kita pada hari ini sebagai satu titik tolak bermulanya pemahaman baharu yang mahukan kehidupan dan masa depan lebih baik,” katanya.

Terdahulu, Flovia menyampaikan teks ucapan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, kes keganasan rumah tangga adalah masalah serius. 

Katanya, ia bukan sahaja di Sabah, malah di seluruh dunia keganasan rumah tangga dapat mempengaruhi individu dari pelbagai latar belakang sosial, ekonomi dan budaya.

“Pihak berkuasa di negeri ini telah melakukan pelbagai usaha bagi mengatasi masalah berkenaan termasuklah menganjurkan program kesedaran.

“Saya memuji program yang dianjurkan oleh JHEWA kerana memberi manfaat dan kebaikan kepada semua peserta,” katanya.

Menurutnya, program ini adalah inisiatif baharu untuk kesejahteraan rakyat selaras dengan hala tuju kementerian bagi tahun 2021 hingga 2025 di bawah Pelan Sabah Maju Jaya. 

“Tujuan utamanya adalah memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan yang dibawakan khas daripada jabatan kerajaan seperti JHEWA serta agensi-agensi lain.

“Program ini juga merupakan wadah penyampaian perkhidmatan serta perkongsian ilmu yang sangat efektif dalam usaha JHEWA memperkasakan masyarakat khususnya wanita di Sabah,” katanya. – Info X