KOTA KINABALU: Sabah FC berjaya ke separuh akhir Piala Malaysia 2024 setelah mengekalkan agregat 1-0 selepas seri tanpa jaringan pada perlawanan kedua suku akhir menentang Kuching City FC di Stadium Likas, malam ini.
Bekalan tipis yang dibawa hasil kemenangan di Kuching sebelum ini cukup bermakna buat skuad Sang Badak untuk meneruskan saingan Piala Malaysia pada musim ini.
Sepanjang aksi malam ini, kedua-dua pasukan berhempas pulas mencari jaringan, lebih-lebih lagi Kuching City yang datang untuk membalas dendam selepas dibolosi di gelanggang sendiri sebelum ini.
Namun, misi balas dendam pasukan pelawat tidak kesampaian apabila gagal mencipta sebarang jaringan di Likas.
Kuching City juga mempunyai peluang baik menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti Sabah pada minit kecederaan, namun ia juga gagal menghasilkan jaringan.
Skuad Sang Badak juga gagal memanfaatkan peluang bermain di gelanggang sendiri di hadapan lebih 7,000 penyokong apabila banyak percubaannya tersasar, terutama pada babak pertama.
Kebuntuan tanpa jaringan itu berakhir dengan tiupan wisel penamat yang membawa makna kepada Sabah untuk meneruskan aksi ke pusingan separuh akhir selepas mendahului saingan dengan agregat 1-0. – Info X