Search

Piala Malaysia : Sabah FC tidak ambil mudah cabaran suku akhir

August 20, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Walaupun berjaya ke suku akhir Piala Malaysia selepas mengatasi Kuching City FC dengan agregat selesa 4-1, Sabah FC tidak mengambil mudah cabaran yang bakal dihadapi pada peringkat seterusnya nanti.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, pasukannya perlu mengambil peluang bermain di tempat sendiri untuk mendapatkan bekalan yang selesa apabila berkunjung ke tempat lawan untuk aksi timbal balik.

Katanya, Perak FC yang akan menjadi lawan Sabah FC dalam saingan suku akhir nanti bukan pasukan yang mudah untuk ditundukkan, terutama di bawah bimbingan ketua jurulatih baharu, Yusri Che Lah.

“Kalau kita lihat dari segi keputusan dan prestasi pasukan Perak, mereka bertambah baik selepas mendapat jurulatih baharu, Yusri yang mempunyai pengalaman begitu luas.

“Mereka menewaskan pasukan pilihan, jadi bagi pasukan Sabah kita tidak boleh mengambil mudah.

“Jika kita mengambil sikap sambil lewa kita akan menerima hukuman seperti mana yang Kedah lalui,” katanya pada sidang media selepas perlawanan kedua pusingan 16 Piala Malaysia menentang Kuching City, di sini, malam tadi.

Perak FC berjaya menyingkirkan Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan agregat 4-3 walaupun tewas 2-1 dalam aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Jumaat lalu. – Info X

Kredit Foto – MAHA