Search

PIBG, sekolah perlu giatkan usaha kesedaran elak kejadian buli – Jamawi

June 24, 2026

Info X Reporters

TENOM: Semua pihak, khususnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta sekolah perlu mempergiatkan usaha kesedaran bagi membendung gejala buli dalam kalangan pelajar.

Perkara itu ditekankan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar ketika mengulas insiden buli membabitkan murid sebuah asrama sekolah rendah di Tenom yang tular baru-baru ini.

“Kita mengharapkan kerjasama semua pihak terutamanya PIBG dan sekolah agar mengambil langkah-langkah kesedaran elakkan buli di sekolah masing-masing agar perkara seperti ini tidak berulang.

“Semoga ianya menjadi pengajaran penting untuk kita semua,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, Jamawi yang juga ADUN Melalap menggesa orang ramai supaya tidak menularkan gambar dan video berkaitan insiden buli terbabit.

Katanya, siasatan terhadap kes itu diserahkan kepada polis dan semua pihak perlu memberi kerjasama termasuk menghentikan penyebaran gambar dan video insiden berkenaan.

“Kita serahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Kita harus hormati permintaan ahli keluarga mangsa dan pelajar untuk tidak viralkan gambar dan video tersebut,” katanya.

Terdahulu, polis daerah Tenom mengesahkan menerima satu laporan berhubung kejadian seorang murid perempuan yang dipercayai menjadi mangsa buli di sebuah asrama sekolah di Tenom sebagaimana yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Tenom, Superintenden Azmir Abdul Razak berkata, susulan laporan yang diterima pada 23 Jun, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan, Seksyen 507B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 11 Jun lalu di sebuah asrama sekolah di daerah itu.

“Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dan telah dirujuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Setakat ini tiga individu dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom bagi membantu siasatan, termasuk pelaku serta individu yang dipercayai terlibat dalam rakaman dan penyebaran video kejadian itu.

“Beberapa barang kes turut dirampas bagi tujuan siasatan,” katanya.

Azmir berkata, pihak polis memandang serius sebarang bentuk perbuatan buli, keganasan serta penyebaran kandungan yang boleh mengaibkan atau mengancam mangsa.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan semula video kejadian kerana tindakan itu boleh menjejaskan siasatan serta memberi kesan kepada kebajikan dan emosi mangsa yang masih di bawah umur. – Info X