Search

Agong kurnia sumbangan RM500,000 kepada mangsa kebakaran Kudat dan Sandakan

June 24, 2026

Info X Reporters

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor merakamkan penghargaan bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar mengurniakan sumbangan untuk mangsa kebakaran di Kudat dan Sandakan.

Sumbangan berjumlah RM500,000 itu disampaikan Pemegang Amanah Urusan Yayasan Sultan Ibrahim Johor, Tan Sri Avinderjit Singh kepada Ketua Menteri sambil disaksikan sendiri Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, di sini, pada Rabu.

Hajiji menyifatkan sumbangan Yang di-Pertuan Agong itu sebagai tanda keprihatinan baginda terhadap rakyat Sabah yang terjejas akibat bencana berkenaan.

“Kerajaan Negeri amat menghargai sumbangan dan sokongan yang diberikan, khususnya tragedi kebakaran di Kampung Gumpa, Kudat serta tragedi kebakaran besar di Kampung Bahagia, Sandakan,” katanya.

Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri Sabah melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah akan terus memperkukuh usaha penyelarasan bantuan kebajikan, pengurusan pusat pemindahan sementara serta memastikan kebajikan dan kesejahteraan mangsa sentiasa terpelihara.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Datuk Awang Shahminan Sahari; Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Datuk Walter Kenson dan Pegawai Daerah Kudat, Charles William Dabbi.

Pada 16 April lalu, lapan rumah terbakar membabitkan 67 mangsa di Kampung Gumpa, Kudat manakala pada 18 April, sebanyak 1,050 rumah dijilat api hingga menjejaskan 914 Ketua Isi Rumah (KIR) di Kampung Bahagia, Sandakan. – Info X