Search

Team Futsal SUKMA Sabah sasar tiga terbaik pada temasya SUKMA 2026

June 24, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pasukan Futsal SUKMA Sabah menyasarkan kedudukan tiga terbaik pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor yang dijangka berlangsung Ogos depan.

Ketua Jurulatih SUKMA Futsal Sabah, Azman Soaibah, berkata pasukannya kini berada di landasan tepat dalam mempersiapkan diri menghadapi perlawanan SUKMA dengan sasaran untuk melangkah sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir.

Katanya, persiapan rapi mula diatur sejak April lalu, termasuk penyertaan dalam kejohanan pendedahan di Johor bagi menguji tahap kemampuan pemain.

“Genap sebulan kita menjalani latihan fizikal dan taktikal bermula dari April hingga Jun. Selepas ini, tiada lagi waktu rehat, kita akan terus fokus di mana tahap kesediaan pasukan kini sudah mencapai 70 hingga 75 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas perlawanan persahabatan di antara pasukan SUKMA Futsal Sabah dan pasukan DMNA FC yang diketuai Ketua Pegawai Operasi Marmaz Group Holdings Sdn Bhd, Datuk Mohamad Nazir Ali, di sini.

Azman berkata, sebagai sebahagian daripada fasa terakhir persiapan, skuad futsal SUKMA Sabah dijadual bakal menguji kekuatan menentang pasukan antarabangsa, Brunei Darussalam, pada Julai nanti.

Mengulas mengenai senarai akhir pemain, beliau berkata proses senarai pendek sudah dilakukan pada 19 Jun lalu.

Bagaimanapun, katanya pihak kejurulatihan masih dalam fasa menilai sama ada mahu membawa konfigurasi dua atau tiga penjaga gol bagi mengelakkan implikasi buruk sekiranya berlaku kecederaan pada saat akhir.

“Saya mahu pastikan pasukan kita tahun ini tidak hanya bergantung kepada empat atau lima orang sahaja. Kita akan gunakan sepenuhnya semua pemain yang dibawa, di mana semua orang dalam skuad mempunyai kualiti dan peluang untuk bermain,” katanya.

Sementara itu, katanya kehadiran pihak pengurusan Marmaz Group Holdings Sdn Bhd ke sesi itu membuktikan sokongan padu sektor korporat terhadap pembangunan sukan negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif Marmaz Group Holdings Sdn Bhd, Datuk Jimsbon Unding, yang turut hadir memberikan sokongan moral kepada pasukan Sabah, menyatakan harapan agar lebih banyak syarikat tempatan tampil ke hadapan. – Info X