Search

PKK UMS, SJA kukuhkan hubungan dua hala dan kerjasama strategik

January 15, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pusat Komunikasi Korporat (PKK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini mengadakan kunjungan mesra terhadap Persatuan Wartawan Sabah (SJA) sebagai usaha memperkukuh hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama strategik dalam bidang komunikasi, media dan pembangunan profesional.

Kunjungan itu diketuai Pengarah PKK UMS, Dr Rizal Zamani Idris dan disambut Presiden SJA, Mariah Doksil, bersama barisan kepimpinan persatuan berkenaan.

Pertemuan itu menjadi platform perbincangan mengenai potensi kolaborasi strategik berkaitan perkongsian kepakaran, pembangunan bakat, latihan profesional, penghasilan kandungan komunikasi berimpak tinggi dan pengukuhan jaringan antara institusi akademik serta organisasi media di Sabah.

Rizal berkata, PKK UMS sentiasa komited untuk membina hubungan yang bersifat sinergi dengan organisasi profesional bagi memperkasa ekosistem komunikasi korporat dan kewartawanan.

“UMS melalui PKK amat menghargai peranan SJA dalam membentuk landskap komunikasi dan kewartawanan yang beretika serta berwibawa.

“Kunjungan mesra ini diharap dapat membuka ruang kerjasama yang lebih tersusun dan berimpak, khususnya dalam aspek latihan, pemindahan ilmu dan penghasilan naratif positif berkaitan institusi pendidikan tinggi serta pembangunan masyarakat,” katanya.

Menurut beliau, kerjasama strategik antara universiti dan persatuan wartawan amat penting bagi memastikan amalan komunikasi yang relevan dengan keperluan semasa industri serta mampu menyokong agenda pembangunan negeri.

Turut hadir, Timbalan Pengarah PKK UMS, Mohd Ezni Hezri Mohd Yusop; Ketua Sektor Hal Ehwal Korporat, Che Hasruddin Che Hasan; Ketua Pentadbiran, Norliza Abdullah dan Ketua Unit Perhubungan Media PKK, Salbinous Saribun.

Sementara itu, Presiden SJA, Mariah Doksil menyambut baik kunjungan PKK UMS dan menyifatkannya sebagai satu langkah proaktif ke arah memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua pihak.

“Persatuan Wartawan Sabah amat mengalu-alukan kerjasama dengan UMS, khususnya Pusat Komunikasi Korporat, dalam usaha memperkasa bidang komunikasi dan kewartawanan.

“Gabungan kekuatan akademik UMS dan pengalaman profesional wartawan diyakini mampu memberi manfaat besar kepada industri media serta masyarakat secara keseluruhan,” katanya.

Pertemuan tersebut turut membincangkan perancangan kerjasama yang berpotensi untuk dilaksanakan dalam masa terdekat.

Hadir sama, Setiausaha SJA, Siti Aisyah Narudin bersama barisan Ahli Jawatankuasa Tertinggi SJA, Mohd Nazlie Zainul, Vivi Olviana Najurus dan Fardy Bungga.

Delegasi PKK UMS turut disertai Ketua Unit Pengurusan Majlis dan Unit Perhubungan Awam PKK, Mohammad Norazmi Harris; Ketua Unit Video, Johaidi Ismail dan kakitangan Unit Perhubungan Media PKK, Mohd Affzanizam Mohd Amin dan Faezah Mohamad Dun. – Info X