RANAU: Sebuah kedai runcit dan kafe jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran berhampiran Tugu Nunuk Ragang, Kampung Balisok, di sini, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Rantey Fred berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.02 malam sebelum jentera tiba di lokasi kira-kira sejam kemudian.
“Kebakaran melibatkan sebuah bangunan berkeluasan kira-kira 167 meter persegi yang terbakar sepenuhnya.
“Operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan dua pancutan air bersumberkan jentera bomba dan pili berhampiran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 9.15 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.23 malam.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan operasi turut dibantu lima anggota PDRM serta dua petugas Sabah Electricity,” katanya. – Info X