Search

Lelaki mengaku salah edar dadah 1 kg

January 16, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki mengaku salah atas pertuduhan mengedar dadah ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Tawau, di sini, hari ini.

Tertuduh, Yusri Amsar, 19 yang membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd Afiz Huzairi Ayob didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 1,009.47 gram.

Bagaimanapun, prosiding kes itu ditangguhkan sementara menunggu keputusan ujian kimia.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa polis, ASP Nur Intan Jamrin.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada jam 10.15 malam, 1 Januari lalu di hadapan Jin Hua Cold Storage, Jalan Lorong Tawau 1, di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan rotan tidak kurang 12 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati. – Info X