Search

858 warga asing diusir ke negara asal, 844 warga Filipina melalui laut

January 16, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Seramai 858 warga asing dipindahkan pulang ke negara asal dalam Program Pemindahan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Siri 1/2026 yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina, semalam.

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, program yang dilaksanakan pada 15 Januari 2026 itu membabitkan 844 warganegara Filipina yang dipindahkan secara usir melalui laut menggunakan Vessel MV Antonia 1.

PATI warga Filipina dihantar pulang ke negara asal mereka.

“Semua tahanan terbabit dipindahkan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar, Sandakan dan Tawau, terdiri daripada 519 lelaki dewasa, 215 perempuan dewasa, 92 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah serta 18 bayi berumur 23 bulan ke bawah.

“Purata umur tahanan yang terlibat adalah antara dua bulan hingga 72 tahun, dengan kanak-kanak dihantar pulang bersama ibu bapa atau penjaga masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara PATI warga Filipina yang dihantar pulang ke negara asal mereka melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.

Beliau berkata, selain warganegara Filipina, program sama turut menyaksikan enam warganegara Pakistan, seorang Vietnam dan seorang China berjaya dipindahkan ke negara asal masing-masing.

“Ia menjadikan jumlah keseluruhan 858 orang warga asing dipulangkan sepanjang awal tahun 2026 melalui pengangkutan laut dan udara,” katanya.

Program sama turut menyaksikan enam warganegara Pakistan, seorang Vietnam dan seorang China dipindahkan ke negara asal masing-masing.

Dalam pada itu, beliau menegaskan JIM Sabah akan terus mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana majikan yang menggaji atau melindungi pekerja asing tanpa dokumen sah.

“Majikan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara serta sebatan bagi kesalahan bersubahat atau melindungi PATI,” katanya. – Info X