Search

PM sebut kes rasuah babitkan pemimpin Sabah

September 26, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertegas tidak berkompromi salah laku rasuah tanpa mengira individu yang dikaitkan dengan jenayah berkenaan.

Beliau berkata, jika ada dakwaan berhubung, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti mengambil tindakan untuk menyiasat.

Tegasnya, ia adalah tugas SPRM tanpa membabitkan campur tangan mana-mana pihak termasuk dirinya, tidak kira sama ada individu yang disiasat diambil tindakan atau sebaliknya.

“Kalau ada bukti rasuah SPRM mesti ambil tindakan, kamu Tan Sri kah, kamu menterikah, di Semenanjungkah atau di Sabah, kamu ADUN, kalau ada kes, SPRM masuk, kalau salah hukum penjara.

“Tapi ada orang kata ini ada orang yang tak masuk. Ini bukan kerja saya, saya bukan siasat, saya bukan hakim, kita kena ikut peraturan, walaupun orang ini tak masuk, dia dah siasat, kalau ada itu namanya diktator,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Himpunan Tamu Rapat Umum sempena 27 Tahun Reformasi PKR di Dewan Pisompuruan Kampung Kobuni, di sini, pada Jumaat.

Dalam ucapannya, Anwar turut mengulas dakwaan rasuah membabitkan seorang pemimpin di Sabah baru-baru ini yang katanya turut disiasat SPRM.

“Ada berita seorang pemimpin Sabah baru-baru ini, ada berita baharu, terus SPRM jawab kita akan siasat. Ini cara kita,” katanya tanpa menyebut pemimpin yang dimaksudkan.

Sebelum ini, sebuah portal berita mendedahkan video perbualan seorang ahli perniagaan dengan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey berhubung dakwaan wujud unsur rasuah dalam isu permohonan lesen cari gali mineral.

Dr Jeffery disahkan sudah dipanggil SPRM dipercayai untuk memberi keterangan berhubung video berkenaan, semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Politik Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu, Anuar Ghani, menyatakan Jeffrey memberi keterangan lebih lima jam kepada SPRM, bermula jam 5.30 petang hingga 11 malam tadi.

Sementara itu, Anwar berkata hasil ketegasan SPRM menyiasat dan mengambil tindakan terhadap gejala rasuah, berbilion ringgit wang berjaya dikutip semula sehingga kini. – Info X