Search

PNRF UMS Rai Pencapaian Cemerlang Pelajar Non Residen

March 16, 2023

admin

KOTA KINABALU: Pusat Pengurusan Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) Universiti Malaysia Sabah (UMS) buat julung kalinya telah mengadakan satu majlis penghargaan khas untuk meraikan para pelajar non residen yang telah mencapai kejayaan sepanjang 2022.

Pengarah PNRF, Hasmi Hashim berkata, majlis penghargaan tersebut diadakan bagi menghargai sumbangan dan jasa bakti yang telah diberikan oleh pelajar NR dari aspek mengharumkan nama universiti secara amnya.

“Penghargaan juga diberikan kepada para pelajar yang terlibat dalam program berbentuk pengurusan kepimpinan sahsiah pelajar melalui pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘Masih Ada Yang Sayang’ di Rumah Kanak-kanak Kota Kinabalu dan juga program ‘Mahasiswa Prihatin’ di SK Tambulaong, Tuaran.

“Tidak dilupakan kejayaan manis semua atlet pelajar NR yang telah berjaya memenangi pingat dalam sukan yang telah diadakan di peringkat universiti dan juga PARA-SUKMA,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor yang turut hadir pada majlis tersebut turut menyampaikan penghargaan atas pengorbanan dan dedikasi yang telah disumbangkan oleh para pelajar NR sepanjang tahun lalu.
“Ini akan menyemarakkan lagi semangat siswa siswi yang tinggal di luar kampus untuk terus berusaha melakukan yang terbaik ke arah meningkatkan lagi keupayaan dan pengetahuan serta menerapkan nilai madani dalam kalangan pelajar sebagaimana yang dihasratkan oleh kerajaan.

“Selain itu, perkembangan pembangunan sahsiah pelajar ini akan dapat melahirkan modal insan yang berilmu, berkemahiran, berintegriti, beretika tinggi, berkualiti dan berdaya saing,” katanya.

Pada majlis tersebut turut diadakan sesi pelancaran buku mewah (Coffee Table Book)‘ ‘Bingkisan Memori dan Harapan’ yang disempurnakan oleh Kasim. – Info X