TAWAU: Polis Tawau sedang mencari seorang penunggang motosikal wanita dipercayai melarikan diri selepas merempuh seorang pejalan kaki sehingga menyebabkan kematian di Batu 3, Jalan Apas, di sini, semalam.
Ekoran kecederaan parah, mangsa wanita berusia 69 tahun berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangandalam kejadian jam 4.40 petang itu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kemalangan membabitkan dua motosikal dan seorang pejalan kaki.
Siasatan awal di tempat kejadian mendapati ketika penunggang motosikal lelaki berusia 19 tahun dari arah Bandar Tawau menghala ke Batu 3, Jalan Apas menunggang di lorong kanan cuba mengelak seorang pejalan kaki wanita yang sedang melintas jalan.
“Penunggang motosikal terbabit dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas ke bahagian pembahagi jalan di sebelah kanan.
“Apabila penunggang motosikal cuba mengangkat motosikalnya sambil menoleh ke arah belakang, dia terlihat mangsa terbaring berhampiran sebuah motosikal berwarna kuning yang ditunggang oleh seorang wanita.
“Penunggang wanita itu telah melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Axia warna putih selepas kemalangan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, Jasmin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah.
“Polis sedang berusaha mengesan penunggang motosikal terbabit bagi membantu siasatan.”Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Info X