Search

Polis jawab telefon suami maut kemalangan

October 16, 2023

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: “Suami beritahu akan pulang petang, tapi hingga malam, belum balik ke rumah. Rasa tidak sedap hati, saya kemudian menghubunginya.

“Tetapi polis yang menjawabnya dan memaklumkan suami terbabit kemalangan,” kata Junainih Matnor, 43, isteri kepada Shamol@Shamsol Kaimen, 53, yang maut kemalangan di Jalan Lintas – Kepayan, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala.

Junainih berkata, ketika itu dia baru pulang ke rumah dari tempat kerjanya di sebuah restoran di Kepayan.

“Suami ada memberitahu untuk keluar sekejap dan akan pulang petang. Apabila tiba di rumah malam itu, suami tiada di rumah.

“Sebaik siap mengemas rumah, suami belum juga pulang, masa itu saya rasa tidak sedap hati, lalu menghubunginya tetapi polis yang menjawabnya dan memaklumkan suami terbabit kemalangan di Jalan Lintas – Kepayan dekat OUM,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam tadi.

Katanya, lokasi kejadian itu berlaku berhampiran dengan rumahnya lalu, dia kemudian keluar ke jalan besar dan melihat ramai orang.

Junainih ditemui oleh pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kota Kinabalu.

“Saya terus berlari ke sana dan mendapati suami sudah tidak lagi bernyawa, dia terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

“Kali terakhir saya melihat suami tengah hari sebelum kejadian ketika dia (suami) hendak keluar dan memberitahu akan balik rumah pada petang. Saya reda dan positif serta menganggap pemergian suaminya, mempunyai hikmah tersendiri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kejadian membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara dipandu seorang lelaki bersama seorang penumpang.

Katanya, kenderaan Nissan Navara dari Hotel Lintas Platinum menuju ke pusat bandar raya.

Anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke HQE I.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, seorang pejalan kaki lelaki melintas jalan secara mengejut dari kiri ke kanan jalan (dari arah Yu Sang menuju ke Jalan Kendara).

“Disebabkan jarak yang sudah terlalu dekat, pemandu Nissan Navara tidak sempat mengelak dan terlanggar mangsa di bahagian hadapan kenderaan yang dipandunya,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, akibat daripada perlanggaran itu, mangsa tercampak ke hadapan di lorong tengah sejauh lima meter dari lokasi perlanggaran.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) akibat parah di kepala.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Info X