KOTA KINABALU: Polis menahan empat lelaki termasuk dua warga Filipina kerana disyaki terbabit kes curi kabel milik sebuah syarikat telekomunikasi terbesar di bandar raya ini membabitkan kerugian RM51,500.
Keempat-empat suspek ditahan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menerusi beberapa siri serbuan, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya menerima dua laporan kes curi kabel milik sebuah syarikat telekomunikasi di Jalan Kebajikan dan Jalan Rampayan, Manggatal, pada Khamis dan semalam dengan anggaran kerugian RM51,500.

Katanya, hasil daripada maklumat yang diperoleh, pada 5 pagi semalam, di tepi jalan kawasan Penempatan Telipok, menjalankan serbuan dan menahan dua lelaki warga tempatan.
“Kedua-dua suspek berusia lingkungan 30 tahun itu ditahan kerana dipercayai pencuri kabel dan susulan penahanan itu, polis merampas barang kes dalam simpanan suspek iaitu kabel perak serta tembaga yang sudah dibakar untuk tujuka dijual bagi mendapatkan wang.
“Hasil pengakuan dan pendedahan kedua-dua suspek, membawa anggota polis ke tempat pembeli hasil kabel curi berkenaan di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan Penempatan Telipok iaitu tempat mereka menjual hasil kabel/tembaga yang dicuri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, pihaknya kemudiannya menahan seorang lelaki warga Filipina iaitu pekerja di premis berkenaan.

“Hari yang sama, kira-kira jam 12 tengah hari, bertempat di kawasan semak berhampiran Jalan Kebajikan, polis sekali lagi berjaya menangkap seorang lagi suspek warga Filipina dipercayai terbabit dalam kes curi kabel.
“Manakala rakan sejenayahnya berjaya melarikan diri. Turut dirampas barang kes iaitu beberapa gulung kabel yang sudah dipotong serta beberapa peralatan yang digunakan oleh suspek untuk melakukan kegiatan curi kabel,” katanya.
Menurutnya, dengan tertangkapnya keempat-empat suspekz polis percaya kes kecurian kabel yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini berjaya dibendung dan menjurus kepada penyelesaian kes khususnya bagi daerah ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 431A dan 379 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya menggesa orang ramai dan masyarakat untuk terus membantu pihak polis dalam menyalurkan maklumat berkaitan kecurian kabel agar penjenayah yang terbabit dapat diberkas dengan segera.
“Dalam menguatkuasakan undang-undang, polis bertegas untuk tidak berkompromi dengan sesiapa yang terbabit dalam jenayah ini terutama pemilik dan pengusaha premis-premis besi buruk yang melanggar undang-undang dan bersekongkol bersama penjenayah dengan membeli kabal yang dicuri untuk mengaut keuntungan kerana kabel itu adalah barang kawalan,” katanya. – Info X