KOTA KINABALU: Sabah FC layak ke suku akhir Piala FA selepas menundukkan Kelantan United FC 2 – 0 dalam aksi Pusingan 16 Piala FA di Stadium Likas, di sini, malam ini.
Dalam aksi tadi, gol skuad Sang Badak itu masing-masing dijaringkan kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-13 dan Stuart John Wilkin pada minit ke-58.
Gol Baddrol terhasil menerusi tandukannya selepas menerima hantaran rakan sepasukan, manakala jaringan Stuart disudahkan melalui sepakan leret ke arah sudut gawang Kelantan selepas menerima hantaran Kwang Ming Ko di kawasan petak penalti.
Selaku tuan rumah, Sabah tidak mensia-siakan bermain di hadapan penyokong sendiri dan memastikan Stadium Likas kekal sebagai kubu kuat mereka selepas ditinggalkan dalam tiga perlawanan Liga Super sebelum ini.
Anak buah Datuk Ong Kim Swee kelihatan bekerja keras mahu mencipta kemenangan dan enggan memberi peluang kepada Kelantan untuk menakluki Stadium Likas.
Sepanjang babak pertama saja, sekurang-kurangnya tujuh cubaan berpotensi mencipta gol buat Sabah FC, namun nasib kurang baik hanya satu yang membuahkan hasil.
Baddrol antara yang paling banyak mendapat peluang termasuk pada minit ke-22 dan ke-29 yang menyaksikan beliau melakukan tandukan dan sepakan berbahaya, namun bola melambung tinggi melepasi palang gol Kelantan.
Kelantan hanya mendapat dua atau tiga cubaan sepanjang babak pertama, menyaksikan Sabah menguasai sepenuhnya perlawanan.
Tekanan terhadap pasukan pelawat semakin bertambah pada babak kedua yang menyaksikan pemain Sabah lebih aktif melakukan serangan demi serangan ke arah gawang Kelantan.
Asakan demi asakan dilakukan pemain Sabah selepas berjaya mendapat gol kedua pada minit ke-58, namun cubaan yang dilakukan tersasar dan gagal mencipta gol tambahan.
Bagaimanapun, Kim Swee pasti berpuas hati dengan prestasi anak buahnya kali ini kerana memastikan Sabah dapat melangkah ke pusingan suku akhir Piala FA, selain mempertahankan Stadium Likas sebagai kubu kuat pasukan.
Sedikit kejutan berlaku pada minit ke-75 apabila Kelantan dilihat berjaya menjaringkan gol, namun malang bagi pasukan pelawat apabila gol berkenaan tidak dikira disebabkan offside.
Dalam keadaan tertekan untuk mempertahankan gawang daripada dibolosi berikutan asakan berterusan Sabah, Kelantan terpaksa bermain sehingga tinggal lapan pemain berikutan kecederaan pada minit-minit akhir perlawanan.
Namun begitu, kekentalan pemain Kelantan menjaga gawang daripada menjadi habuan Sabah menyebabkan skuad Sang Badak gagal menambah jaringan dan akur dengan jaringan kemenangan 2 – 0 hingga ke wisel penamat. – Info X