Search

Polis tahan anak suspek utama

February 13, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis menahan anak kandung kepada suspek utama kes pembunuhan kejam wanita yang mayatnya dikerat tujuh bahagian dan dibuang di beberapa lokasi di Taman Indah Permai, di sini, malam tadi.

Lelaki berusia lingkungan 20-an itu ditahan di sebuah rumah di Sepanggar kira-kira jam 11 malam dalam operasi membabitkan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama Bukit Aman; Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah serta Bantuan Teknikal D8 JSJ IPK dan Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Luyang.

Penahanan itu susulan tangkapan bapanya yang berusia lingkungan 70-an kira-kira jam 5 petang semalam, kurang 24 jam selepas penemuan mayat mangsa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua tangkapan berkenaan.

“Suspek kedua ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Sebelum ini, suspek utama lelaki tempatan berusia 70-an berjaya dikesan dan ditahan. Setakat ini motif kejadian dipercayai cemburu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, dengan tertangkapnya kedua-dua suspek, kes berkenaan selesai namun siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan.

Terdahulu, mayat wanita lingkungan 40-an ditemui dalam keadaan anggota badan dikerat dan dibuang berasingan di beberapa lokasi pembuangan sampah sekitar Taman Indah Permai.

Penemuan awal membabitkan tangan dan kaki pada jam 6.30 pagi sebelum pencarian lanjut membawa kepada penemuan kepala serta badan mangsa pada jam 11.40 pagi di lokasi berhampiran. – Info X