Search

Tidak sampai 24 jam, suspek bunuh wanita dikerat tujuh bahagian diberkas

February 12, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis berjaya menahan suspek yang dikaitkan dengan kes pembunuhan kejam seorang wanita yang mayatnya dikerat tujuh bahagian dan dibuang di beberapa lokasi di Indah Permai, di sini, awal pagi tadi.

Suspek lelaki berusia 71 tahun itu diberkas di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) jam 8.10 malam dalam operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Luyang, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Bantuan Teknikal D8 JSJ IPK dan Bukit Aman.

Tangkapan dilakukan dalam tempoh kurang 24 jam selepas penemuan bahagian anggota badan mangsa berusia lingkungan 40-an oleh seorang pekerja lori sampah kira-kira jam 6.30 pagi.

Difahamkan, suspek dikenal pasti hasil petunjuk daripada mayat mangsa selepas penemuan kepala dan badan dalam operasi pencarian susulan dijalankan polis susulan penemuan awal tangan dan kaki mangsa di tong sampah.

Petunjuk itu membolehkan polis menjejaki lokasi suspek sebelum berjaya menahannya.

Berdasarkan maklumat diperoleh Info X, motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu dan tuntutan wang pertunangan yang membawa kepada pergaduhan antara suspek dan mangsa sebelum insiden kejam itu berlaku.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman bertindak atas maklumat dan risikan, kira-kira jam 4.30 petang semalam, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu menjalankan operasi di Kampung Sri Kenangan, Sepanggar.

“Hasil keterangan saksi mendapati mangsa pernah dilihat berlari keluar dari sebuah rumah dalam keadaan cemas sebelum ditarik masuk semula oleh seorang lelaki.

“Susulan itu, pada jam 8.10 malam hari sama, sepasukan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu bersama D7 dan D9 menahan seorang lelaki berusia 71 tahun di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, turut dirampas dalam tangkapan itu beberapa barangan termasuk telefon bimbit, pakaian dipercayai dipakai ketika kejadian serta sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail berwarna keemasan.

“Hasil soal siasat awal mendapati suspek utama mengaku terlibat dalam kejadian tersebut dan nenyatakan motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan hubungan peribadi dan tuntutan wang pertunangan.

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Difahamkan, suspek kini ditempatkan di hospital bagi menjalani pemeriksaan lanjut sebelum proses reman dijalankan.

Terdahulu, mayat seorang wanita ditemui dalam keadaan terpisah apabila beberapa bahagian anggota badannya dijumpai di tempat pembuangan sampah di Taman Indah Permai, pagi tadi.

Penemuan awal membabitkan kaki dan tangan manusia berhampiran tempat letak kereta bersebelahan pasar raya berkenaan kira-kira jam 6.30 pagi.

Susulan itu, polis menjalankan pencarian lanjut dengan bantuan pekerja lori sampah.

Hasil pencarian dan siasatan membawa kepada penemuan kepala serta badan mangsa kira-kira jam 11.40 pagi di satu lagi lokasi pembuangan sampah berhampiran Pasaraya Bataras Indah Permai.

Bagaimanapun, setakat jam 12 tengah hari tadi, dua lagi anggota badan masih belum ditemui dan usaha pencarian diteruskan. – Info X