TAWAU: Dua lelaki ditahan bersama 150 gram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM12,000 menerusi Op Taring ESSZONE di kawasan Felda Umas, Kalabakan, di sini, Rabu lalu.
Kedua-dua suspek warga tempatan berusia 33 dan 37 tahun ditahan anggota polis dari Kompeni C Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau ketika menjalankan tugas rondaan di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ketika menjalankan tugas rondaan, pasukan polis terkesan sebuah kereta jenis Proton Saga parkir dan terdapat dua lelaki di dalam kenderaan dalam keadaan mencurigakan.
“Pasukan polis kemudian menahan kedua-dua lelaki terbabit, namun seorang daripadanya cuba melarikan diri dan mencampakkan beg pinggang warna hitam ke tanah.
“Bagaimanapun suspek berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan antara anggota polis dan suspek,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan dalam beg pinggang berkenaan mengandungi satu bungkusan plastik warga putih di dalamnya terdapat tiga paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu.
“Susulan itu, kedua-dua suspek bersama barang rampasan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.
“Hasil pemeriksaan saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” katanya.
Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. – Info X