TAWAU: Polis menahan lelaki warga asing yang dipercayai terbabit pengedaran dadah dan merampas 1,022.11 gram dadah jenis syabu hasil serbuan di kawasan jeti Batu 3½, Jalan Apas, di sini, semalam.
Suspek berusia 45 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, kira-kira jam 4.30 petang.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan ketika berada dalam keadaan mencurigakan sambil memegang kotak dan cuba melarikan sebaik menyedari kehadiran polis.
“Pemeriksaan ke atas kotak itu membawa kepada penemuan satu peket plastik warna putih yang disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 1,022.11 gram yang dianggarkan bernilai RM35,500.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan Amphetamine,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, polis kini giat menjalankan risikan dan mengesan individu lain yang mungkin terbabit dalam sindiket pengedaran dadah berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek akan direman bermula hari ini.
“Polis turut menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam penyalahgunaan dan pengedaran dadah, serta akan terus memperhebatkan operasi bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di daerah ini,” katanya. – Info X