KOTA KINABALU: Sebarang usaha atau perbincangan mengenai kerjasama politik baharu menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah tanpa melalui GRS-PH Plus disifatkan sebagai tindakan yang pramatang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata tindakan itu tidak menghormati mandat dan kestabilan yang dipupuk di negeri ini.
Jelasnya, sebarang perubahan mengenai kerjasama politik menjelang PRN17 perlu berlandaskan perbincangan yang inklusif, menghormati struktur sedia ada dan berteraskan kepentingan rakyat Sabah.
“Saya menghargai rakan-rakan PH Sabah yang berdiri teguh mempertahankan kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika Sabah berdepan perubahan politik di peringkat Pusat sebelum ini.
“Ini membuktikan bahawa kerjasama yang berteraskan keikhlasan dan kepentingan rakyat mampu bertahan mengharungi apa saja cabaran.
“Saya turut menzahirkan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang konsisten memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Pendekatan beliau yang lebih progresif dan bersungguh-sungguh dalam memperkasa Sabah haruslah dihargai dan diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Nizam yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), berkata kerjasama GRS-PH Plus adalah hasil rundingan yang matang selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan Persekutuan dan terbukti berjaya membawa kestabilan kepada pentadbiran negeri.
Katanya, ia turut diterjemahkan melalui kejayaan pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), yang melonjakkan kemajuan dan kesejahteraan rakyat Sabah dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, infrastruktur, ekonomi digital dan pengurusan sumber asli.
Berdasarkan hubungan baik dan pencapaian itu, Nizam berkata GRS terbuka dan komited meneruskan kerjasama dengan PH Plus demi kesinambungan pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat Sabah keseluruhannya. – Info X