l
SHAH ALAM: Sesi “post-mortem” pencapaian kontinjen Sabah pada SUKMA XXII Selangor 2026 akan menjadi landasan utama untuk memastikan sasaran 40 pingat emas yang gagal dicapai kali ini dapat direalisasikan pada temasya akan datang.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata penilaian menyeluruh akan dilakukan bagi mengenal pasti kelemahan, kekurangan dan perkara yang perlu diperbaiki supaya persiapan Sabah selepas ini lebih terarah dan berupaya mencapai sasaran berkenaan.
Katanya, “post-mortem” itu bukan sekadar menilai pencapaian kontinjen di Selangor, sebaliknya menjadi asas kepada perancangan jangka panjang termasuk memperkukuh program pembangunan atlet dan memberi tumpuan kepada acara yang mempunyai potensi besar menyumbang pingat emas.
“Insya-Allah kita akan memperbaiki di mana ada kelemahan dan kekurangan untuk kita menghadapi Sukan Malaysia yang akan diadakan dua tahun akan datang di negeri Kelantan.
“Kita akan melihat semua aspek dan memastikan apa yang perlu diperbaiki dapat dilakukan supaya sasaran 40 pingat emas itu dapat dicapai pada SUKMA akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penutupan SUKMA XXII Selangor 2026 yang disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Aneka Walk, di sini, Isnin.
Sabah menamatkan saingan di tempat kelapan keseluruhan dengan kutipan 30 emas, 27 perak dan 36 gangsa, berbanding sasaran 40 emas yang ditetapkan.
Bagaimanapun, Nizam berkata pencapaian itu tetap membanggakan kerana kutipan emas Sabah meningkat berbanding 29 emas yang diraih pada SUKMA Sarawak 2024.
Beliau berkata, pencapaian di Selangor menunjukkan Sabah mempunyai potensi untuk mencapai sasaran lebih tinggi, namun beberapa aspek perlu diperbaiki bagi memastikan prestasi kontinjen dapat dipertingkatkan secara konsisten.
“Walaupun tidak mencapai sasaran kita, saya ingin menyatakan rasa bangga saya kepada kesungguhan atlet-atlet Sabah.
“Ada sukan yang mencapai sasaran mereka, malah ada yang memberi lebih baik daripada sasaran seperti sepak takraw dan petanque,” katanya.
Nizam berkata, beliau yang mengikuti hampir keseluruhan pertandingan sepanjang SUKMA Selangor turut melihat sendiri potensi besar dalam kalangan atlet Sabah yang boleh dikembangkan menerusi persiapan lebih awal dan tersusun.
Katanya, hasil “post-mortem” nanti perlu diterjemahkan kepada tindakan konkrit termasuk memperkemas program latihan, mengenal pasti atlet berpotensi serta memberi tumpuan kepada acara yang mampu menjadi penyumbang utama emas.
“Perjuangan tidak berakhir di Selangor. Kita akan terus berusaha, menambah baik kelemahan dan melangkah lebih jauh demi kecemerlangan sukan negeri kita.
“Mudah-mudahan kita akan dapat mencapai sasaran kita untuk mendapat 40 pingat emas di kejohanan SUKMA yang akan datang, insya-Allah,” katanya.
SUKMA XXII Selangor 2026 berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, menghimpunkan lebih 10,000 atlet daripada 15 kontinjen untuk merebut 468 pingat emas dalam 37 jenis sukan.
Sabah menyertai 36 daripada 37 sukan yang dipertandingkan.
Tuan rumah Selangor muncul juara keseluruhan selepas mengungguli temasya dengan 101 emas, 73 perak dan 71 gangsa.-Info X