KUNAK: Tiga sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak maut manakala tiga lagi cedera selepas kereta dinaiki enam sekeluarga terbabas sendiri di Kampung Sungai Atas, Jalan Sungai Atas, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.05 petang itu, kereta Perodua Viva terbabit dipercayai terbabas sebelum keenam-enam mangsa ditemui berada di luar kenderaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Mohamad Omarbatha berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 6.05 petang sebelum empat anggota dikejarkan ke lokasi.
Katanya, pasukan bomba tiba kira-kira jam 6.10 petang, iaitu lima minit selepas menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya di lokasi, kami mendapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Viva yang terbabas sendiri di atas jalan raya.
“Enam mangsa terbabit, dengan tiga disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala tiga lagi mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, tiada operasi menyelamat dilakukan pasukan bomba kerana semua mangsa sudah berada di luar kenderaan ketika pasukan tiba.
Beliau berkata, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala tiga mangsa cedera dibawa ke Hospital Kunak menggunakan ambulans KKM bagi mendapatkan rawatan.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.31 malam selepas keadaan di lokasi disahkan selamat dan tiada bahaya lain wujud,” katanya. – Info X