PENAMPANG: Dua lelaki ditahan selepas selepas didapati melakukan aktiviti menyeleweng minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah stor di Kampung Minintod, di sini, semalam.
Dalam operasi jam 2.45 petang itu, kedua-dua lelaki terbabit dikesan sedang melakukan aktiviti mengepam minyak diesel bersubsidi dari tangki biru ke sebuah lori tanker.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, operasi Op Taring Landai itu dijalankan atas maklumat berkaitan kesalahan penyeludupan dan penyelewengan minyak diesel bersubsidi.
Katanya, ketika serbuan dijalankan, kedua-dua suspek disyaki sedang melakukan aktiviti mengepam minyak diesel.
“Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui 13,400 liter minyak diesel bersama peralatan iaitu tangki plastik, tong drum, mesin pam dan hos.
“Kedua-dua suspek terus ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang bukti berdokumen kebenaran memiliki, menyimpan, membawa barang kawalan tanpa permit yang sah dari pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad berkata, pasukan operasi kemudiannya merampas semua barangan berkenaan untuk siasatan.
Katanya, turut dirampas lori tanker dan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux untuk tindakan selanjutnya.
“Semua rampasan dianggarkan bernilai RM184,160 termasuk dua kenderaan dan kes dirujuk ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.
“Siasatan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1967,” katanya. – Info X